amree23/09/2026 - 09:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept — Buku tempahan belum dibilkan Southern Score Builders Berhad (SSB) kini mencecah kira-kira RM1.9 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan kukuh sehingga FY29, susulan momentum pengambilan kontrak terus dipacu projek pusat data (DC).
Perkembangan positif itu turut mendapat perhatian penganalisis dengan TA Research dan Phillip Capital Research masing-masing mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham kumpulan ini, dengan harga sasaran (TP) masing-masing ditetapkan 70 sen dan 74 sen sesaham.
TA Research berkata, buku tempahan kini mewakili 3.9 kali ganda hasil FY26, manakala Phillip Capital melihatnya sebagai asas kepada keterlihatan pendapatan, dengan subsidiari SJEE Engineering Sdn Bhd menyumbang 33% daripada keseluruhan tersebut.
Momentum itu diperkukuh dengan kontrak terbaharu bernilai RM40 juta bagi sebuah projek DC di Nilai, Negeri Sembilan, menjadikan jumlah kemenangan SSB bagi FY27 setakat ini sekitar RM472 juta atau kira-kira 43% daripada sasaran pengisian semula.
Kontrak berkenaan diperoleh melalui SJEE Engineering, subsidiari milik 51% SSB, bagi kerja-kerja bekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem elektrik DC tersebut dengan dijangka siap menjelang 20 April 2027.
"Kami menyifatkan ia sebagai kontrak keempat bagi FY27 serta ketiga membabitkan kerja mekanikal dan elektrikal (M&E) berkaitan DC setakat tahun kewangan semasa, menjadikan nilai kumulatif kontrak M&E kepada RM291.5 juta," kata TA Research.

Firma penyelidikan itu berkata jumlah tersebut bersamaan 48.6% daripada sasaran pengisian semula kontrak M&E bagi FY27 sebanyak RM600 juta, sekali gus mencerminkan momentum kukuh dalam pengambilan kontrak baharu, khususnya dalam sektor DC.
TA Research menganggarkan kontrak terbaharu itu mampu menyumbang RM2.4 juta kepada keuntungan bersih SSB sepanjang tempoh kontrak berdasarkan kepada andaian margin 12%, dan turut mengekalkan unjuran hasil kumpulan tersebut yang sedia ada.
Sementara itu, Phillip Capital menganggarkan kontrak RM40 juta tersebut menyumbang kira-kira RM3 juta kepada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI), yang berasaskan kepada andaian margin bersih sekitar 15%.
"Kami juga menjangkakan pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) kumpulan bagi FY27 mampu mencecah sebanyak 49%, dipacu terutamanya oleh SJEE apabila semua kontrak DC memasuki fasa pengiktirafan hasil," jelas firma penyelidikan berkenaan.
Phillip Capital berkata prospek pengisian semula kontrak SSB kekal disokong oleh buku tender sekitar RM1.1 bilion, yang merangkumi projek DC (52%), kediaman bertingkat tinggi dan hospital (44%), serta rumusan perundingan kejuruteraan khusus (4%).
Ia melihat tempoh pembinaan kurang dua tahun bagi kerja M&E DC sebagai faktor yang berpotensi mempercepatkan pengiktirafan hasil dan keuntungan SSB, selain buku tempahan kukuh, boleh menyokong keterlihatan hasil dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com





