
KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji (TH) ketika pembelian tanah di Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) merupakan anggota Lembaga Pengarah syarikat pelaburan strategik itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, perkara tersebut menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan berlaku konflik kepentingan dalam keputusan pelaburan TH ketika itu.
Menurut beliau, pembelian tanah berkenaan dibuat ketika kontroversi membabitkan 1MDB berada pada kemuncaknya.
“Persoalan besar timbul apabila CEO Tabung Haji ketika itu turut menjadi anggota Lembaga Pengarah 1MDB,” katanya ketika memberi penerangan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH di Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Zulkifli berkata, keadaan itu juga menimbulkan persoalan sama ada pembelian tanah tersebut dibuat berdasarkan kepentingan terbaik TH atau bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pihak lain.
Dalam pada itu, katanya, RCI turut membangkitkan persoalan berhubung pelaburan TH dalam Putrajaya Perdana Bhd., termasuk pelantikan Pengerusi TH ketika itu sebagai Pengerusi syarikat berkenaan.
“Individu sama adalah Pengerusi TH dan Pengerusi Putrajaya Perdana, malah syarikat itu kemudian terbabit dalam urus niaga dengan 1MDB.
“Akhirnya, TH mengalami kerugian sebanyak RM145.3 juta,” katanya.
Jelasnya, penemuan berkenaan antara perkara yang menimbulkan persoalan mengenai aspek tadbir urus serta kemungkinan konflik kepentingan dalam beberapa keputusan pelaburan TH.
Sabtu lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan supaya siasatan terhadap laporan RCI mengenai TH dijalankan secara menyeluruh.
Baginda bertitah, perkara itu penting bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya selain mengelakkan isu sama berulang pada masa depan. – KOSMO! ONLINE
The post CEO TH adalah Lembaga 1MDB ketika beli tanah TRX – Menteri appeared first on Kosmo Digital.






