Bayaran RM1.5 bilion kepada 'orang tengah', pelaburan Al-Rawda kerugian terbesar TH

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 8:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bayaran RM1.5 bilion kepada 'orang tengah', pelaburan Al-Rawda kerugian terbesar TH
Amir Hamzah

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pelaburan Al-Rawda di Arab Saudi merupakan kerugian terbesar dalam senarai pelaburan bermasalah yang dihadapi Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, menerusi perjanjian pajakan bagi tempoh 2015 hingga 2017, TH telah membayar sebanyak SR1.4 bilion atau RM1.5 bilion kepada orang tengah untuk memajak empat hotel di Madinah dan Makkah bagi tujuan penginapan jemaah haji.

"Orang tengah tersebut sepatutnya mengendalikan keempat-empat hotel berkenaan dan berjanji membayar sewa sebanyak SR2.49 bilion kepada TH, malangnya bayaran tersebut gagal dilunaskan.

"Persoalannya, bagaimana kepimpinan TH pada waktu itu begitu berani membuat bayaran secara 'upfront' dengan nilai melebihi RM1.5 bilion? Jaminan pelaburan yang disandarkan hanya sekeping nota janji peribadi,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, Al-Rawda juga gagal menyediakan jaminan bank seperti yang diminta Jabatan Pengurusan Risiko TH selain laporan 'due diligence' juga tidak lengkap.

Namun menurutnya, kepimpinan TH tetap meneruskan urus niaga bersandarkan nota jaminan tersebut. 

"Lebih RM1.5 bilion wang umat Islam dipertaruhkan tanpa cagaran bernilai. Al-Rawda mula tidak membayar sejak suku pertama 2019, nota janji disandarkan tidak dipenuhi dan Tabung Haji terpaksa menanggung kerugian dengan pelaburan rosot nilai sepenuhnya berjumlah RM1.86 bilion pada 2024," jelasnya.

Sementara itu menjawab soalan Datuk Dr Radzi Jidin (PN - Putrajaya) sama ada keempat-empat hotel tersebut digunakan sepenuhnya oleh jemaah haji Malaysia, Amir Hamzah berkata, pihak ketiga gagal menyediakan penempatan berkenaan ketika musim haji

Bagaimanapun beliau menjelaskan, hotel-hotel tersebut telah disewakan selepas musim haji untuk pulangan selebihnya.

"Apa yang ada dalam tangan Tabung Haji adalah nota perjanjian itu sahaja, dan sedikit pun tidak dapat kepada kita.

"Ini urus niaga yang cacat sejak awal, berat sebelah dan gagal melindungi umat Islam di Malaysia," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved