“Cepat Sembuh, Kami Rindu…” – Video Sambutan Hari Lahir Buat Rakan Di Kerusi Roda Undang Sebak Netizen

28 Jan 2026 • 1:34 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Dalam hidup ni, bukan semua orang diuji dengan perkara yang mudah. Ada yang terpaksa berjuang melawan sakit, ada yang perlahan-lahan belajar menerima takdir yang berubah sekelip mata. Tapi bila sekeliling masih ada sahabat yang setia, yang tak pernah hilang walau masa berlalu, itulah penawar paling mahal nilainya. Momen sebegini jugalah yang membuatkan ramai netizen sebak apabila menonton satu video persahabatan tulus yang kini tular di media sosial.

Menerusi perkongsian di TikTok milik pengguna @lemonteasha, sekumpulan sahabat memuat naik video istimewa sempena hari lahir rakan mereka yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.

Dalam kapsyen ringkas tetapi penuh makna, dia menulis,

“Cepat sembuh, kami rindu. Selamat hari lahir Cupika. Simpan video ini, nanti bila sudah sihat boleh tengok semula.”

Difahamkan, sahabat mereka mengalami kemalangan sejak Disember 2024 dan sehingga kini masih perlu bergerak menggunakan kerusi roda.

Walaupun berdepan ujian berat, kehadiran kawan-kawan yang tetap setia meraikan hari lahirnya jelas menggambarkan erti persahabatan sebenar. Reaksi dalam video yang sarat emosi membuatkan ramai penonton turut tersentuh hati.

Ruangan Komen Dipenuhi Doa Dan Kenangan Lama

Menjengah ke ruangan komen pula, ramai yang bukan sahaja menitipkan doa, malah berkongsi kenangan lama bersama gadis berkenaan. Ada yang mengimbau memori zaman kanak-kanak yang pernah membesar bersama kerana tinggal di aras yang sama.

Malah, ada rakan lama yang mengucapkan selamat hari lahir sambil mendoakan kesembuhan, selain mengakui masih mengikuti perkembangan rakannya di media sosial kerana sikapnya yang ceria dan kelakar.

Dalam masa sama, terdapat juga netizen yang tidak mengenalinya secara peribadi namun tetap tersentuh hati. Mereka mendoakan agar gadis tersebut cepat sembuh, malah berharap persahabatan yang terjalin kekal hingga ke syurga. Ada juga yang mengaku hampir menangis kerana terlalu sebak menonton video berkenaan.

Rata-rata bersetuju, momen kecil seperti ini sebenarnya paling memberi makna, cukup dengan kehadiran, ingatan dan doa, ia sudah mampu menguatkan hati seseorang yang sedang berjuang.

Semoga segala urusan dipermudahkan dan dia kembali sihat seperti sediakala. Kadang-kadang, kasih sayang sahabat itulah ubat paling mujarab. – The Malaysian Update

The post “Cepat Sembuh, Kami Rindu…” – Video Sambutan Hari Lahir Buat Rakan Di Kerusi Roda Undang Sebak Netizen appeared first on The Malaysian Update.