
GEORGE TOWN: Cerun tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, di sini semalam tidak menunjukkan tanda-tanda akan runtuh lagi selepas kerja-kerja mengalihkan paip air ke lokasi lebih selamat dilakukan semalam.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran berkata, bagaimanapun, langkah berjaga-jaga masih perlu diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang terutama ketika hujan berterusan yang berisiko melemahkan struktur tanah.
“Selepas hujan berhenti dan paip-paip air dialihkan tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan cerun itu akan runtuh. Tapi kita masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan insiden ini tidak berulang kembali,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 11 Tahun 2026, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.36 pagi semalam, seorang doktor, Wong Kar Lin, 73, ditemukan maut selepas tertimbus di bawah runtuhan konkrit apabila tanah runtuh melanda sebuah rumah di Lebuh Rambai 13, Taman Seri Rambai, Paya Terubong, Air Itam.
Rajendran berkata, MBPP telah mengeluarkan notis henti kerja kepada pemaju selain mengarahkan kerja-kerja mitigasi dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan di tapak.
Katanya, kejadian itu akan disiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta kemungkinan turut melibatkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) manakala MBPP akan terus memantau dan menjalankan siasatan di kawasan berkenaan.
“Siasatan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan bergantung kepada keadaan dan hasil pemeriksaan di lokasi.
:Bagaimanapun, tempoh itu bukan bermakna penduduk yang dipindahkan perlu menunggu sehingga siasatan selesai untuk kembali ke rumah masing-masing,” katanya.
Menurutnya, keputusan berhubung penempatan semula penduduk akan dibuat bersama pihak penyiasat, manakala urusan penempatan sementara sedang dikendalikan Pejabat Tanah.
Mengulas kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah yang menyebabkan dua kereta terjejas, beliau berkata, insiden itu bukan berpunca daripada kerja pembinaan sebaliknya melibatkan cerun lama yang mengalami kerosakan.
Menurutnya, hujan berterusan sepanjang tempoh peralihan monsun boleh menyebabkan tanah menjadi lemah apabila air bergerak masuk ke dalam struktur cerun.
Katanya, MBPP telah mengeluarkan surat kepada kontraktor dan pemaju sejak September lalu supaya meningkatkan langkah keselamatan di tapak pembinaan susulan keadaan cuaca yang berisiko. – UTUSAN
The post Cerun tanah runtuh di Paya Terubong stabil, MBPP pantau keselamatan appeared first on Utusan Malaysia.






