
GEORGE TOWN – Kematian warga emas dalam tragedi tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini semalam disahkan berpunca daripada kecederaan akibat dihempap objek tumpul serta sesak nafas selepas tertimbus tanah.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, bedah siasat yang selesai dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada pukul 3 pagi tadi mendapati kedua-dua faktor itu menjadi punca kematian mangsa dalam kejadian terbabit.
Menurutnya, pihak polis kini memberi tumpuan kepada aspek keselamatan di lokasi kejadian bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Polis juga akan memastikan enam buah rumah yang ditinggalkan penghuninya tidak dimasuki oleh mana-mana pihak sepanjang tempoh pemantauan dilakukan.
“Penghuni yang terlibat pula ditempatkan di hotel buat sementara waktu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, sebentar tadi.
Beliau berkata, kawasan berkenaan ditutup kepada orang awam atas faktor keselamatan berikutan risiko tanah runtuh susulan kemungkinan hujan dalam tempoh terdekat.
Katanya, pihak polis turut menasihatkan penduduk sekitar dan orang ramai supaya mematuhi arahan keselamatan serta tidak menghampiri kawasan larangan.
“Anggota polis akan terus ditempatkan di lokasi ini, namun tempoh kawalan masih belum ditentukan dan bergantung kepada hasil mesyuarat pihak teknikal pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan berhubung kejadian itu masih diteruskan bagi melengkapkan proses siasatan walaupun hasil bedah siasat telah diperoleh.
Semalam,.Kosmo! Online melaporkan seorang warga emas ditemukan maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah di kediaman jenis Kelas A
Mayat mangsa, Dr Wong Kar Lin, 73, ditemukan di bahagian dapur rumahnya selepas dipercayai dihempap struktur konkrit dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 pagi. -KOSMO! ONLINE
The post Tanah runtuh: Mangsa maut dihempap objek tumpul, sesak nafas appeared first on Kosmo Online.






