
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan telah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta Ahli UMNO.
Jelasnya surat berkenaan telah dihantar oleh Tengku Zafrul kepada pucik pimpinan UMNO selain sudah mendapatkan nasihat dari pelbagai pihak termasuklah Presiden parti UMNO iaitu Datuk Seri Zahid Hamidi.
Malah beliau juga memaklumkan ia bukan satu keputusan yang mudah dan mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Selain itu, beliau juga memberitahu niatnya untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Presiden dan Setiausaha Agung parti berkenaan.
Pengumuman tersebut membuatkan timbulnya desas-desus yang mengatakan beliau berbuat demikian untuk mengekalkan jawatannya sebagai menteri memandangkan tempoh khidmat beliau sebagai senator akan tamat pada hujung tahun ini.
Malah ada juga khabar angin yang beliau akan mengambilalih pentadbiran negeri Selangor, ia bagaimanapun dinafikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Tengku Zafrul sifatkan PRK tanpa keperluan mendesak akan bazir masa dan duit rakyat
Terbaharu, Tengku Zafrul telah tampil menjelaskan beberapa perkara berhubung keputusan pengunduran daripada UMNO serta permohonan untuk menyertai PKR.
Malah beliau menegaskan tidak bersetuju untuk mengadakan Pilihanraya Kecil (PRK) sekiranya tiada keperluan mendesak.
“Pertama, berkenaan desas-desus mengenai penyertaan dalam mana-mana pilihan raya kecil, baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri, saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan tentang perkara ini pernah berlaku dan ia bukan sebahagian daripada pertimbangan saya dalam membuat keputusan ini.
“Saya sememangnya tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK (Pilihanraya Kecil) tanpa keperluan yang mendesak, kerana PRK juga melibatkan masa dan duit rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan di Instagram.
Serahkan kepada PM untuk tentukan kedudukannya sebagai menteri
Menurut Tengku Zafrul lagi, beliau akan menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Negara sehinggalah tamat tempoh perkhidmatannya pada bulan Disember 2025.
Selain itu, beliau turut menyerahkan kepada Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukan kedudukannya sebagai menteri.
“Berkenaan kedudukan saya sebagai seorang menteri, saya menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada budi bicara Yang Amat Berhormat PM. Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti.
“Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat dan selagi khidmat saya diperlukan, saya akan terus menyumbang tanpa perlu jawatan.”
Keputusan berundur adalah pilihan peribadi & tiada paksaan
Dalam masa sama, beliau menegaskan keputusan untuk berundur dari UMNO adalah pilihan perbadinya dan bukan atas sebarang paksaan.
Katanya meskipun ia bukan satu keputusan mudah namun beliau telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan mendalam.
“Di dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap individu mempunyai hak untuk membuat pilihan peribadi, dan saya amat menghargai semua pandangan serta penerimaan terhadap keputusan ini.
“Sekali lagi, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden UMNO, sahabat-sahabat MKT UMNO, seluruh akar umbi terutama UMNO Bahagaian Kota Raja, dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh saya bersama UMNO,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul yang kini berada di Tanah Suci Mekah dan telah selamat menyempurnakan ibadah haji bersama isteri tercinta meminta orang ramai untuk mendoakannya terus istiqomah dalam perjuangannya.
“Doakan saya terus istiqomah dalam perjuangan berbekal semangat baharu sesudah pulang dari Tanah Suci Mekah.”



