CGS-CIMB kekal ‘overweight’ terhadap sektor bank dengan jangkaan LLP menurun pada suku kedua 2023

Business & Finance
2 Aug 2023 • 11:01 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CGS-CIMB kekal ‘overweight’ terhadap sektor bank dengan jangkaan LLP menurun pada suku kedua 2023

diyana

02/08/2023 - 11:01

KUALA LUMPUR 2 Ogos - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor bank dengan jangkaan peruntukan kerugian pinjaman (LLP) pada suku kedua 2023 (2Q23) menurun, disimpulkan daripada kejatuhan besar-besaran RM1 bilion dalam jumlah peruntukan industri perbankan dalam suku tersebut.

Firma penyelidikan itu berkata saranan bagi sektor bank dikekalkan pada ‘overweight’ disebabkan penilaian menarik, pertumbuhan domestik teguh dan potensi tindanan pengurusan dimasukkan semula.

Selain itu, pertumbuhan pinjaman berkurangan daripada 4.8% tahun ke tahun (yoy) pada akhir Mei 2023 kepada 4.4% yoy pada akhir Jun 2023, terutamanya disebabkan oleh momentum pinjaman perniagaan semakin lemah.

“Kami menganggarkan setiap 10% kemasukan semula dalam tindanan pengurusan akan meningkatkan unjuran keuntungan bersih tahun kewangan 2023 hingga 2024 (FY23-24) kami sebanyak kira-kira 1.7%.

“Penilaian sektor juga menarik pada harga-kepada-pendapatan (P/E) tahun kalendar 2024 (CY24) 9.5 kali ganda, manakala hasil dividen kelihatan menarik kepada kami pada 5% dalam CY23.

“Pilihan utama sektor kami ialah RHB Bank kerana ia memiliki penilaian dan hasil dividen menarik serta potensi peningkatan dalam pembayaran dividen. Potensi risiko penurunan untuk penarafan sektor kami adalah kemerosotan dalam pertumbuhan pinjaman dan kualiti aset,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma itu mengekalkan saranan ‘tambah’ untuk RHB Bank Berhad dengan harga sasaran (TP) RM7.62, serta saranan serupa bagi Hong Leong Bank (TP:RM25.30) dan Public Bank (TP: RM5.10).

Firma itu menyatakan bahawa kualiti aset Hong Leong Bank (HLB) adalah antara yang terbaik dalam sektor ini, menjadikannya antara yang mempunyai pertahanan terhadap risiko kredit daripada jangkaan kelembapan ekonomi pada 2023.

“Pemangkin pendapatan termasuk peningkatan pantas dalam sumbangan bersekutu daripada Bank of Chengdu dan pertumbuhan pinjaman melebihi industri,” katanya

Bagi Public Bank pula, firma itu berpendapat bahawa ia paling bertahan terhadap risiko kredit daripada potensi halangan makroekonomi.

Tambahnya, nisbah pinjaman terjejas kasarnya secara konsisten adalah yang terendah dalam sektor ini. - DagangNews.com