CGS International semak turun unjuran pertumbuhan KDNK 2025 Malaysia kepada 4.2%

21/04/2025 - 15:46
Gambar: Naim Aziz/DagangNews
KUALA LUMPUR 21 April - CGS International menyemak turun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 kepada 4.2% berbanding 4.6% sebelum ini berbanding aggaran rasmi antara 4.5% hingga 5.5%.
Firma penyelidikan itu berkata, semakan semula itu mencerminkan prestasi KDNK suku pertama 2025 yang lebih lemah daripada jangkaan selain risiko semasa termasuk kesan berterusan berikutan penangguhan tarif timbal balik selama 90 hari oleh Amerika Syarikat (AS).
“Penghantaran ke AS melonjak sebanyak 50% dari tahun ke tahun pada Mac 2025, dan kami menjangka trend ini akan berterusan dalam beberapa bulan akan datang,” katanya dalam satu nota kajian.
Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) meramalkan ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 4.4% pada suku pertama 2025 berdasarkan anggaran awal, lebih perlahan berbanding pertumbuhan 5% pada suku sebelumnya, disokong aktiviti domestik dan permintaan yang stabil.
Data rasmi KDNK suku pertama 2025 dijadualkan diumumkan pada 16 Mei 2025.
CGS International berpandangan, ekonomi domestik kekal kukuh pada 2025, susulan usaha kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan tenaga kerja, seperti kenaikan gaji seiring dengan kadar inflasi yang rendah, yang boleh menyokong perbelanjaan pengguna.
Sementara itu, Kenanga Research mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 pada kadar 4.8%.
“KDNK sebenar bagi suku pertama 2025mungkin mengatasi anggaran awal DOSM.
“Kami juga menjangkakan aktiviti pendahuluan pada suku kedua 2025, didorong penangguhan tarif timbal balik selama 90 hari, boleh menyokong pertumbuhan dalam jangka pendek dan sedikit sebanyak mengurangkan kesan kelembapan ekonomi pada separuh kedua 2025.
"Jika ketegangan perdagangan berpanjangan dan terus meningkat, kami menjangka pertumbuhan keseluruhan boleh menurun sebanyak 0.3 hingga 0.5 mata peratusan,” katanya.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research pula menjangkakan pertumbuhan KDNK yang lebih perlahan iaitu pada kadar 4% tahun ke tahun, di bawah julat sasaran rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak 4.5% hingga 5.5%.
“Permintaan luaran yang lebih lemah dijangka memberi tekanan kepada ekonomi Malaysia dalam persekitaran ketidaktentuan perdagangan global yang semakin meningkat, terutamanya dengan kewujudan tarif efektif sebanyak 5.5% serta potensi pengenalan tarif baharu terhadap produk farmaseutikal dan barangan elektrik dan elektronik (E&E),” katanya.
Di peringkat domestik, HLIB berkata, prospek pertumbuhan Malaysia dijangka disokong perbelanjaan isi rumah yang diperkukuh oleh pasaran buruh yang sihat dan langkah dasar kerajaan seperti pemindahan tunai berjumlah RM13 bilion, pelaksanaan gaji minimum pada Februari 2025, serta kenaikan gaji penjawat awam pada Disember 2024.
“Aktiviti pelancongan yang bertambah baik dan komitmen pelaburan yang berterusan juga akan menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan. Namun begitu, risiko penurunan masih wujud, berpunca daripada permintaan luaran yang perlahan akibat ketegangan perdagangan yang semakin meningkat.
“Sehubungan itu, kami mengekalkan jangkaan BNM akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% untuk mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan datang pada 8 Mei 2025, dengan kemungkinan penurunan kadar sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% bermula separuh kedua 2025,” katanya. - DagangNews.com
standard

