
Sebut sahaja mengenai kereta elektrik (EV), isu berkenaan pengecasan masih tidak berkesudahan kerana bilangan kereta elektrik yang terjual setiap bulan mengatasi jumlah pengecas yang telah dipasang. Ini menyebabkan nisbah pengecas kepada kereta elektrik tidak berkadar langsung, menyebabkan pengecas awam menjadi rebutan ramai pengguna EV. Terbaharu Chargesini, salah satu syarikat penyedia pengecasan EV telah memperkenalkan pelan langganan mereka yang kini menawarkan caj melahu (idle fee) percuma mengikut pelan yang dipilih.

Caj melahu percuma ini ditawarkan khusus membolehkan pengguna untuk membiarkan kereta lebih lama pada pengecas. Ini kerana terdapat beberapa situasi yang memudahkan pengguna untuk meninggalkan kereta mereka sewaktu mengecas, seperti contoh memerlukan masa lebih lama untuk membeli-belah, menonton wayang, atau bermesyuarat. Sedikit berbeza dimana jika pengecas DC dapat melengkapkan pengecasan penuh dengan pantas, dan akan mengenakan caj melahu. Menerusi pelan langganan ini, pengguna Chargesini tidak perlu bergegas untuk mengalihkan kereta, sebaliknya memanfaatkan langganan sedia ada dan menggunakan masa untuk tujuan lain.

Terdapat tiga pelan yang ditawarkan iaitu Charge Plus, Charge Pro, dan juga Charge Max. Kesemuanya berbeza dari segi harga langganan dan juga diskaun ditawarkan, serta waktu caj melahu yang diberikan. Terdapat had diskaun, mengikut pelan yang ditawarkan. Untuk kesemua pelan dibawah, pelanggan turut menerima semakan kesihatan bateri setiap tahun secara percuma yang bernilai RM 500.
| Pelan | Bayaran | Diskaun Pengecasan Kondo | Diskaun Pengecasan Awam | Had Diskaun | Tempoh Melahu Percuma |
| Charge Plus | Sebulan RM 19.90 | 10% | 15% | RM 50 Sebulan | 2 jam |
| Charge Pro | Sebulan RM 29.90 | 12% | 20% | RM 70 Sebulan | 2 jam |
| Charge Max | Setahun RM 360 | 12% | 20% | RM 900 Setahun | 4 jam |
Jika dilihat dari lokasi pengecas Chargesini, kebanyakan pengecas mereka terletak di pusat membeli-belah, rumah pangsapuri serta hotel ternama. Justeru caj melahu percuma ini mungkin sangat bersesuaian dengan pengguna mereka yang sedia ada, membolehkan mereka meluangkan masa lebih lama di tempat pengecasan. Malah ini berita baik buat penghuni pangsapuri yang telahpun menyediakan pengecas Chargesini kerana mereka boleh meninggalkan kereta mereka lebih lama selepas dicaj penuh, dan tidak perlu terburu-buru. Malah langganan pengecasan juga turut menerima pelepasan cukai sehingga RM 5,000 jadi pelan ini semestinya dapat memberikan manfaat jangka panjang.

Dalam berita lain, bulan Mac yang lalu Gentari telah mengenakan caj melahu pada ke semua pengecas mereka di seluruh negara, kecuali di hotel dan kawasan peranginan. Ini mungkin bersesuaian kepada Gentari kerana mereka mempunyai banyak pengecas di lebuhraya, dan ingin memastikan pengecas mereka dapat diakses lebih ramai pengguna menerusi caj melahu yang tinggi.

