OpenAI kini berkongsi menyatakan perkhidmatan kecerdasan buatan janaan mereka, ChatGPT digunakan oleh lebih 250 juta pengguna aktif pada setiap minggu. Majoriti besar dilihat menggunakan perkhidmatan ChatGPT secara percuma.
Walaubagaimanapun, pihak OpenAI tidak berkongsi angka semasa yang menggunakan perkhidmatan berbayar ChatGPT. Untuk makluman, perkhidmatan ChatGPT Plus ditawarkan pada harga langganan $20 sebulan, selain turut ditawarkan untuk pengguna perusahaan. Mengikut data yang dikongsikan OpenAI juga, daripada keseluruhan angka pelanggan berbayar, 75% adalah daripada pengguna, dan hanya 25% daripada perusahaan.
Dengan pelbagai pihak bersaing dalam arena kecerdasan buatan, ia mungkin menjadi agak sukar untuk mendapatkan pengguna berbayar bagi perkhidmatan masing-masing. Microsoft sendiri menawarkan akses kepada CoPilot secara percuma, selain Google yang menawarkan akses kepada Gemini.
Selain bersaing mendapatkan pelanggan berbayar, kesemua syarikat dan firma memfokuskan kecerdasan buatan turut bersaing antara satu sama lain dalam memperkenalkan model terkini yang berupaya lebih tinggi. Ini sekaligus membawa kepada kesukaran dalam menjana pendapatan oleh syarikat berkenaan, terutamanya OpenAI yang memfokuskan kepada sokongan kecerdasan buatan sepenuhnya, dan tidak mempunyai perniagaan lain untuk menampung seperti Google atau Microsoft.

