
SEREMBAN: Parti Wawasan Negara (Wawasan) mendakwa usaha membawa Pakatan Harapan (PH) menyertai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan datang daripada pihak luar kerajaan.
Penyelaras Wawasan Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin berkata, pihaknya tidak menafikan wujud usaha sedemikian selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), namun ia tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri yang sedang dibentuk.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard turut meminta agar orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan tajuk laporan tertentu sehingga menimbulkan kekeliruan mengenai pembentukan kerajaan negeri.
“Berdasarkan maklumat yang ada, memang ada usaha pihak luar kerajaan untuk membawa PH dalam membentuk kerajaan.
“Namun semua jangan terpedaya dengan hanya tajuk berita, sebab ada media yang melaporkan kemungkinan membentuk dengan Pakatan Harapan sehingga menyebabkan kekecohan.
“Kita tak nafi, berdasarkan maklumat kita, memang ada usaha tapi pihak di luar kerajaan yang menyebut dan cuba benda itu,” katanya ditemui di Kompleks Mahkamah Seremban di sini, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan kononnya PH akan dibawa menyertai pentadbiran kerajaan negeri selepas Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan Negeri Sembilan.
Sebelum ini, media melaporkan dakwaan bahawa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PH berkemungkinan menganggotai pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Chegubard turut menegaskan, BN dan PN tidak akan mengkhianati mandat serta harapan yang diberikan rakyat pada PRN lalu.
Katanya, membina sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan stabil menjadi keutamaan gabungan berkenaan ketika ini bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.
“Wawasan Negeri Sembilan mengikuti secara dekat perkembangan berkaitan isu berbangkit itu, malah terlibat dalam beberapa peringkat bagi membantu menguruskan perkara berkenaan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi serta pihak yang terlibat sehingga mencapai keputusan pilihan raya lalu,” katanya.
Chegubard berkata, sebarang permasalahan dan kekusutan yang timbul sebelum ini perlu diselesaikan secara matang bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam gabungan terbabit.
beliau turut menggesa semua pihak memberi ruang kepada Ismail dan UMNO sebagai parti terbesar dalam kerajaan, bagi menyelesaikan proses pembentukan pentadbiran negeri dengan baik demi memastikan kerajaan yang stabil dapat diwujudkan. – UTUSAN
The post Chegubard dakwa pihak luar cuba bawa masuk PH dalam kerajaan Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.






