
LONDON – Chelsea dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah mengejut untuk mendapatkan Marcus Rashford sebelum jendela perpindahan ditutup, sekali gus meletakkan Manchester United dalam dilema mengenai masa depan penyerang England itu.
The Blues sudah berbelanja kira-kira £350 juta (RM1.9 bilion) musim panas ini termasuk membawa masuk Morgan Rogers, Geovany Quenda dan Danny Welbeck, namun pengendali, Xabi Alonso masih mahu menambah pilihan di jentera serangan.
Rashford, 28, kembali ke Old Trafford selepas menghabiskan musim lalu secara pinjaman bersama Barcelona dan membuat penampilan pertamanya bersama United dalam tempoh 18 bulan ketika masuk sebagai pemain gantian sewaktu tewas 0-2 kepada Hull City, Sabtu lalu.
Barcelona sebelum ini memilih untuk tidak mengaktifkan opsyen pembelian tetap bernilai €30 juta (RM141 juta) meskipun Rashford mempamerkan prestasi baik sepanjang tempoh pinjaman dengan merekodkan 28 sumbangan gol dalam semua pertandingan.
Pengendali United, Michael Carrick dikatakan masih mahu memberikan peranan penting kepada Rashford musim ini, namun pengurusan kelab melihat penjualan pemain itu sebagai peluang mengurangkan beban gaji sekitar £300,000 (RM1.63 juta) seminggu.
Bagaimanapun, United menutup pintu terhadap perpindahan secara pinjaman dan hanya bersedia melepaskan Rashford secara tetap dengan nilai sekitar £26 juta (RM143 juta).
Justeru, Chelsea perlu membuat keputusan sama ada sanggup memenuhi tuntutan perpindahan serta menanggung gaji tinggi Rashford dengan sebarang tawaran rasmi berpotensi mencetuskan satu lagi kejutan sebelum jendela perpindahan ditutup. – AGENSI
The post Chelsea ambil langkah mengejut appeared first on Kosmo Digital.






