Chin Hin, PMCK rancang bina hospital swasta 300 katil bernilai RM376 juta di Kedah

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 5:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Chin Hin, PMCK rancang bina hospital swasta 300 katil bernilai RM376 juta di Kedah Image from: Chin Hin, PMCK rancang bina hospital swasta 300 katil bernilai RM376 juta di Kedah liza18/11/2026 - 17:39 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov – Chin Hin Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Chin Hin Construction Engineering Sdn Bhd (CHCE) memeterai perjanjian dengan PMCK Berhad bagi cadangan pembangunan hospital swasta baharu berkapasiti 300 katil di Alor Setar, Kedah dengan anggaran kos RM376 juta.

 

Perjanjian yang ditandatangani pada 18 November 2026 itu melibatkan cadangan penubuhan sebuah syarikat usaha sama (JV) antara kedua-dua pihak bagi melaksanakan pembangunan dan pembinaan hospital berkenaan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Chin Hin berkata projek tersebut turut merangkumi pembangunan infrastruktur berkaitan, kemudahan tempat letak kereta, kerja luaran, infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kerja-kerja lain yang dipersetujui kedua-dua pihak.

 

“Anggaran awal kos pembangunan sebanyak RM376 juta itu tidak termasuk peralatan perubatan dan perabot mudah alih, manakala kos akhir masih tertakluk kepada reka bentuk terperinci, skop kerja, keperluan PMCK, pihak berkuasa, keadaan pasaran dan kos pembiayaan,” katanya.

 

Chin Hin pegang 80% kepentingan dalam usaha sama

Menerusi cadangan usaha sama itu, CHCE atau syarikat penamanya akan memegang 80% kepentingan ekuiti dalam syarikat usaha sama, manakala PMCK atau syarikat penamanya memiliki baki 20%.

 

CHCE akan bertanggungjawab terhadap keseluruhan pengurusan, penyelarasan dan pelaksanaan projek menerusi struktur kontrak secara menyeluruh selain dilantik sebagai kontraktor oleh syarikat usaha sama berdasarkan nilai kontrak yang akan ditentukan.

 

Chin Hin juga akan menguruskan atau mendapatkan pembiayaan bagi bahagian penyertaannya dalam usaha sama itu, selain membantu mengatur struktur pembiayaan dan meneroka cadangan penubuhan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) berkaitan projek berkenaan.

 

Sementara itu, PMCK akan menyediakan tanah seluas kira-kira 2.6 ekar milik anak syarikat milik penuhnya, Unique Luxury Sdn Bhd, bagi tujuan pembangunan hospital tersebut.

 

PMCK turut bertanggungjawab mendapatkan pembiayaan bagi bahagian penyertaannya serta memastikan semua kelulusan operasi dan lesen berkaitan diperoleh. Syarikat itu juga akan menjadi pengendali eksklusif hospital berkenaan selepas pembangunan siap, selain menanggung kos peralatan perubatan, perabot, kelengkapan dan perbelanjaan operasi hospital.

 

Teroka model jualan dan pajakan semula hospital

Selain pembangunan hospital, kedua-dua pihak bercadang meneroka penjualan hospital yang telah siap berserta aset berkaitan kepada REIT, pelabur institusi atau menerusi struktur pengambilalihan lain yang dipersetujui.

 

Di bawah cadangan model jualan dan pajakan semula (sale and leaseback), PMCK atau entiti operasi yang dilantiknya akan menyewa semula premis hospital berkenaan bagi meneruskan operasi perniagaan penjagaan kesihatan.

 

Cadangan pengambilalihan itu juga boleh merangkumi tanah projek dan hospital sedia ada milik PMCK di Alor Setar, tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak.

 

Chin Hin berkata, cadangan kerjasama itu menyokong pembangunan infrastruktur penjagaan kesihatan yang menjadi salah satu tonggak pertumbuhan kumpulan, selain memanfaatkan kepakaran kumpulan dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan secara siap guna.

 

Pelaksanaan masih tertakluk kepada perjanjian muktamad

Bagaimanapun, pelaksanaan projek itu masih tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan, persetujuan terhadap skop akhir pembangunan dan nilai kontrak, pembiayaan yang bersesuaian serta pemeteraian perjanjian muktamad yang turut memerlukan kelulusan lembaga pengarah masing-masing.

 

Dari segi kesan kewangan, Chin Hin berkata, cadangan kerjasama itu tidak memberi kesan material terhadap keuntungan, aset bersih dan nisbah gearing kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, namun dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan masa depan selepas projek dilaksanakan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved