NCT Alliance rancang penempatan saham RM152.47 juta bagi projek industri di Selangor dan Kedah

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 9:35 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

NCT Alliance rancang penempatan saham RM152.47 juta bagi projek industri di Selangor dan Kedah Image from: NCT Alliance rancang penempatan saham RM152.47 juta bagi projek industri di Selangor dan Kedah liza17/11/2026 - 09:35 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov – NCT Alliance Bhd bercadang untuk meraih sehingga RM152.47 juta menerusi cadangan penempatan persendirian bagi membiayai sebahagian pembangunan dua taman perindustrian di Selangor dan Kedah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata, cadangan berkenaan membabitkan penerbitan sehingga 304.94 juta saham baharu bersamaan 10% daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan.

 

Harga terbitan indikatif ditetapkan pada 50 sen sesaham, iaitu diskaun 9.6% berbanding purata harga pasaran wajaran volum (VWAP) lima hari saham NCT Alliance sehingga 30 Oktober 2026.

 

Daripada hasil yang dijangka dikumpulkan, sebanyak RM106.73 juta akan diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan NCT Smart Industrial Park (NSIP) di Selangor dan NCT InnoSphere (NIS) di Kedah.

 

Dua projek mempunyai baki GDV RM3.82 bilion

Kedua-dua taman perindustrian itu merupakan projek di bawah NCT World Sdn Bhd yang diperoleh NCT Alliance pada Januari 2026 pada harga RM490.26 juta daripada pemegang saham utama Kumpulan iaitu Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Datuk Seri Yap Ngan Choy dan adiknya yang juga Pengarah Eksekutif, Datuk Yap Fook Choy.

 

Secara keseluruhan, NSIP dan NIS mempunyai baki nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.82 bilion setakat 30 Oktober 2026.

 

NCT Alliance berkata, pembangunan kedua-dua projek secara berperingkat memerlukan pembiayaan yang besar dalam beberapa tahun akan datang.

 

Sehubungan itu, cadangan penempatan persendirian berkenaan akan menyediakan dana yang diperlukan kumpulan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut jadual, selain menyumbang kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan.

 

RM42.59 juta untuk modal kerja

Selain perbelanjaan pembangunan, sebanyak RM42.595 juta daripada hasil penempatan persendirian itu akan digunakan sebagai modal kerja kumpulan. Baki RM2.2 juta pula diperuntukkan bagi menampung anggaran perbelanjaan berkaitan pelaksanaan penempatan persendirian berkenaan.

 

NCT Alliance menjangkakan cadangan penempatan persendirian itu dapat diselesaikan pada separuh pertama 2027.

 

Pegangan keluarga Yap berkurangan

Susulan penerbitan saham baharu itu, pegangan langsung Yap Ngan Choy dalam NCT Alliance dijangka berkurangan kepada 9.77%, manakala pegangan Yap Fook Choy akan susut kepada 4.07%.

 

Pegangan syarikat pelaburan keluarga, YBG Yap Consolidated Sdn Bhd pula dijangka berkurangan kepada 37.84%. UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat utama dan ejen penempatan tunggal bagi cadangan berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved