Chin Well sasar pasaran Amerika Utara, Australia susulan perubahan tarif AS terhadap produk China

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 12:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Chin Well sasar pasaran Amerika Utara, Australia susulan perubahan tarif AS terhadap produk China Image from: Chin Well sasar pasaran Amerika Utara, Australia susulan perubahan tarif AS terhadap produk China liza27/10/2026 - 12:48 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt – Chin Well Holdings Berhad mahu memanfaatkan perubahan rantaian bekalan global susulan tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap produk China selain meneroka pasaran baharu bagi memperbaiki prestasi kewangan dan kembali mencatatkan keuntungan bersih.

 

Dalam laporan tahunan FY2026, kumpulan pengeluar produk pengikat logam dan dawai itu berkata, pihaknya akan terus mencari pelanggan berpotensi serta memperluas bahagian pasaran, khususnya di Amerika Utara dan Australia.

 

Chin Well menjangkakan tarif AS sebanyak 75% terhadap produk pengikat logam China dapat mengalihkan sebahagian pesanan kepada pengeluar alternatif, termasuk Malaysia.

 

“Kumpulan turut menjangkakan permintaan dari Mexico meningkat susulan penyelesaian siasatan antidumping negara itu terhadap produk pengikat logam China, yang boleh mendorong pembeli beralih kepada pembekal bukan dari China.

 

“Selain itu, Chin Well berharap penjelasan lanjut Kesatuan Eropah mengenai pelaksanaan Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM) dapat mengurangkan ketidakpastian pematuhan dan membantu memulihkan permintaan di pasaran Eropah,” katanya.

 

Bahagian dawai kembali mencatat keuntungan

Bagi FY2026 berakhir 30 Jun 2026, hasil kumpulan merosot 9.99% kepada RM338.76 juta daripada RM376.37 juta setahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, Chin Well kembali mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM121,316 berbanding kerugian RM3.82 juta pada FY2025, dibantu prestasi lebih baik bahagian produk dawai.

 

Bahagian itu mencatatkan peningkatan hasil 17.54% kepada RM124.79 juta dan keuntungan sebelum cukai RM7.11 juta, berbanding kerugian RM1.22 juta sebelumnya.

 

Menurut kumpulan, peningkatan pesanan dari Amerika Utara susulan tarif AS terhadap produk China serta usaha Australia mempelbagaikan sumber bekalan membantu meningkatkan permintaan terhadap produk dawai keluaran Malaysia.

 

Sebaliknya, hasil bahagian produk pengikat logam merosot 20.81% kepada RM213.96 juta, manakala kerugian sebelum cukainya berjumlah RM1.91 juta susulan permintaan lemah di Eropah dan peningkatan kos pengangkutan serta minyak.

 

Kawal kos, tingkatkan kecekapan operasi

Walaupun prestasi sebelum cukai bertambah baik, Chin Well masih mencatatkan kerugian bersih RM2.15 juta pada FY2026 berbanding RM4.70 juta pada FY2025.

 

Kumpulan berkata, pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan euro serta penurunan nilai saksama pelaburan saham tersenarai turut menjejaskan prestasi kewangan.

 

Bagi menghadapi cabaran itu, Chin Well akan menumpukan kecekapan pengeluaran, peningkatan kualiti produk, peluasan rangkaian produk dan penambahbaikan tempoh penghantaran bagi mengawal kos serta mengekalkan daya saing.

 

Kumpulan juga merancang menambah kemudahan solar di kilangnya di Vietnam dan melabur secara berperingkat dalam teknologi pengeluaran rendah karbon untuk meningkatkan kecekapan tenaga.

 

Projek infrastruktur sokong prospek

Di Malaysia, pelaksanaan projek infrastruktur, tenaga boleh baharu dan pengembangan industri dijangka menyokong permintaan terhadap produk pengikat logam.

 

Chin Well akan terus meneroka peluang perniagaan baharu dan memperluas produk hiliran bagi mengurangkan tekanan terhadap margin keuntungan serta persaingan harga daripada pembekal asing.

 

Pengurusan menjangkakan keadaan pasaran tahun kewangan berikutnya kekal mencabar susulan ketidaktentuan ekonomi global, namun akan terus berhati-hati dalam strategi perniagaan sambil memanfaatkan peluang eksport bagi memperbaiki prestasi kewangan kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved