liza26/10/2026 - 14:18 IPO berkenaan ditawarkan pada harga 56 sen sesaham dan merangkumi terbitan awam sebanyak 335 juta saham baharu serta tawaran jualan 145 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt – MyDCD Berhad menyasarkan untuk meraih hasil RM268.8 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 17 November 2026.
IPO berkenaan ditawarkan pada harga 56 sen sesaham dan merangkumi terbitan awam sebanyak 335 juta saham baharu serta tawaran jualan 145 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian.
Daripada jumlah keseluruhan itu, MyDCD dijangka menerima hasil kasar RM187.60 juta daripada terbitan saham baharu, manakala RM81.2 juta lagi akan diterima sepenuhnya oleh pemegang saham yang menjual saham sedia ada mereka.
Berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 1.794 bilion saham dan harga IPO berkenaan, MyDCD dijangka mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM1 bilion selepas disenaraikan.
Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan yang mengkhususkan dalam sistem mekanikal, elektrik, paip dan perlindungan kebakaran (MEPF) bagi pusat data itu melancarkan prospektus IPO pada 26 Okt 2026.
RM134 juta untuk modal kerja dan pelaksanaan projek
Daripada hasil terbitan awam sebanyak RM187.6 juta, MyDCD memperuntukkan RM134 juta atau 71.43% untuk keperluan modal kerja, terutamanya bagi menyokong pelaksanaan projek dan membiayai bon prestasi.
Sebanyak RM39.9 juta atau 21.27% lagi akan digunakan untuk mengembangkan operasi perniagaan menerusi pengambilan kakitangan tambahan, penyewaan ruang pejabat baharu dan latihan pekerja.
Sementara itu, RM5 juta atau 2.66% daripada hasil IPO akan diperuntukkan bagi menambah baik sistem teknologi maklumat (IT), manakala baki selebihnya akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.
Ketua Pegawai Eksekutif MyDCD, Chris Ow Yong berkata pengalaman syarikat dalam industri pusat data dan keperluan terhadap keupayaan teknikal, tenaga kerja berpengalaman serta modal kerja menjadi asas kepada penggunaan hasil IPO berkenaan.
Menurutnya, dana yang diperoleh akan membantu syarikat memenuhi keperluan pelaksanaan projek, termasuk penyediaan bon prestasi, selain memperkukuh pasukan dan menambah baik sistem bagi menyokong pertumbuhan perniagaan.
Hasil RM666 juta dan buku tempahan RM1.32 bilion
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026), MyDCD merekodkan hasil sebanyak RM666.03 juta dan keuntungan selepas cukai RM66.8 juta.
Bagi tempoh tiga tahun dari FY2023 hingga FY2026, hasil syarikat mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 52.8%, manakala keuntungan selepas cukai berkembang pada CAGR 58.48%.
Setakat 30 September 2026, kumpulan itu mempunyai buku tempahan belum dilaksanakan bernilai RM1.32 bilion, bersamaan kira-kira 1.98 kali hasil FY2026.
Daripada jumlah itu, kira-kira RM1.27 bilion terdiri daripada projek penyepaduan sistem MEPF pusat data, manakala RM53.08 juta lagi melibatkan perkhidmatan penyelenggaraan. Nilai buku tempahan tersebut dijangka diiktiraf sebagai hasil secara berperingkat sehingga tahun kewangan berakhir 30 Jun 2032.
Selain melaksanakan projek baharu, MyDCD turut menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan membekalkan alat ganti bagi memenuhi keperluan operasi pusat data yang telah siap. Setakat 30 September 2026, kumpulan itu mempunyai 76 kontrak penyelenggaraan aktif dengan tempoh kontrak lazim antara satu hingga lima tahun.
Pelaburan pusat data pacu permintaan sistem MEPF
Menurut laporan penyelidikan pasaran bebas yang terkandung dalam prospektus, nilai kerja pembinaan MEPF di Malaysia meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul 15% antara 2023 hingga 2025, mencecah RM10.4 bilion pada 2025.
Pertumbuhan itu berterusan pada separuh pertama 2026 apabila nilai kerja pembinaan MEPF meningkat 18.1% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Dalam tempoh 2021 hingga separuh pertama 2026, Malaysia turut merekodkan pelaburan berkaitan pusat data berjumlah RM385.70 bilion, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan infrastruktur digital negara.
Chris berkata, peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) mendorong keperluan lebih tinggi terhadap kuasa pengkomputeran, sistem penyejukan dan pengurusan tenaga di pusat data, sekali gus meningkatkan kepentingan sistem MEPF.
Penyenaraian buka akses kepada modal untuk pengembangan
Sementara itu, Ketua Pembiayaan Korporat TA Securities Holdings Berhad, Ku Mun Fong berkata IPO itu merupakan langkah strategik bagi MyDCD untuk meningkatkan profil korporat, memperluas keterlihatan pasaran dan mendapatkan akses kepada modal bagi menyokong fasa pembangunan seterusnya.
Menurutnya, keupayaan teknikal serta pengalaman MyDCD dalam menyediakan perkhidmatan kepada pusat data perusahaan, kolokasi dan hiperskala meletakkan kumpulan itu dalam kedudukan untuk meneroka peluang dalam segmen pasaran berkenaan.
Permohonan saham IPO MyDCD dibuka pada 26 Oktober 2026 dan akan ditutup pada 2 November 2026, jam 5 petang. TA Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, pengunderait dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.
Saham MyDCD juga telah diklasifikasikan sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. - DagangNews.com




