
BIDUR: Pasukan penyelamat di Nepal mula menguji penggunaan dron gergasi bagi menghantar bekalan bantuan kritikal kepada mangsa banjir dan tanah runtuh yang terputus hubungan di seberang sungai.
Langkah berkenaan diambil selepas bencana minggu lalu merosakkan jambatan, memusnahkan laluan jalan raya serta merobohkan tiang utiliti, memutuskan sistem pengangkutan serta perhubungan bagi ribuan penduduk.
Ketika operasi mengesan lebih 2,500 mangsa hilang masih diteruskan, pihak berkuasa kini bergelut dengan masa bagi menyalurkan bekalan makanan dan barangan keperluan asas kepada mangsa terselamat di Sungai Bhotekoshi dan Sungai Trishuli.
Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dianggarkan kira-kira 10,000 isi rumah terjejas akibat bencana alam berkenaan.
Jumaat lalu, kira-kira belasan pengendali dron swasta, sukarelawan tentera serta pegawai polis berkumpul di kawasan lapang di Devighat, sebuah kawasan di bandar Bidur, Nepal tengah bagi menguji keupayaan dron menyalurkan bekalan kritikal melintasi Sungai Trishuli.
Mereka menguji sebuah dron gergasi yang saiznya menyamai sebuah meja makan besar apabila bilah kipasnya dibuka sepenuhnya. Dron perintis berkenaan berkemampuan membawa muatan berat sehingga 100 kilogram (kg).
Sebahagian daripada penguji terbabit merupakan juruterbang dron komersial berpengalaman yang pernah menjatuhkan bungkusan perkhidmatan di kawasan tanah tinggi Himalaya.
Bagaimanapun, pasukan berkenaan mengambil langkah berhati-hati dengan menguji muatan seberat kira-kira 59 kg terlebih dahulu untuk penerbangan pertamanya.
Antara barangan yang dimuatkan termasuklah beras, mi segera, pakaian serta tuala wanita. Keadaan hujan renyai sedikit memperlahankan proses mengikat bungkusan pada dron menggunakan tali dan cangkuk paut.
Dron bersaiz gergasi yang bernilai ribuan dolar berkenaan berkemampuan terbang pada ketinggian ribuan kaki, namun menerusi ujian tersebut, ia terbang pada aras rendah merentasi sungai.
Peranti itu tidak mendarat di seberang, sebaliknya hanya terapung di udara sewaktu petugas mengeluarkan barangan muatan.
Satu perjalanan pergi dan balik bagi ujian berkenaan hanya mengambil masa kira-kira tiga minit.
Pasukan penguji kini merancang untuk membentangkan dapatan ujian berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan bagi menilai sama ada kaedah penghantaran dron seumpama itu mampu mempercepatkan operasi bantuan kemanusiaan.
Beberapa saiz dan jenis dron lain telah digunakan di Nepal sebelum ini, termasuk bagi menghantar catuan makanan kecemasan ke kawasan pedalaman.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan Nepal, Swarnim Wagle memberitahu Reuters negara itu dijangka memerlukan peruntukan lebih AS$4 bilion (RM16.1 bilion) bagi membaik pulih infrastruktur yang musnah akibat bencana berkenaan.- AGENSI
The post Nepal uji dron gergasi hantar bantuan mangsa banjir appeared first on Utusan Malaysia.





