
China Cipta Aplikasi “Are You Dead?” Untuk Individu Tinggal Seorang
Sebuah aplikasi baharu yang membawa konsep suram kini mencetuskan fenomena di China.
Menurut BBC, aplikasi yang dikenali sebagai Are You Dead? berfungsi sebagai sistem pengesahan keselamatan peribadi, di mana pengguna perlu menekan satu butang setiap dua hari bagi membuktikan mereka masih hidup.
Sekiranya pengesahan gagal dilakukan dalam tempoh ditetapkan, aplikasi tersebut akan secara automatik menghubungi individu yang disenaraikan sebagai kontak kecemasan untuk memaklumkan bahawa pengguna berkemungkinan berada dalam keadaan berbahaya.
Walaupun dilancarkan pada Mei tahun lalu tanpa mendapat sambutan meluas, namun populariti aplikasi berkenaan melonjak mendadak sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Difahamkan, ia didorong oleh peningkatan muat turun dalam kalangan golongan muda yang tinggal bersendirian di bandar-bandar utama China.
Fenomena itu sekali gus menjadikan Are You Dead? sebagai aplikasi berbayar paling banyak dimuat turun di negara tersebut.
Menurut institusi penyelidikan, jumlah isi rumah satu orang di China dijangka meningkat sehingga 200 juta menjelang 2030, lapor media rasmi China, Global Times.
Ada pihak mengecam nama aplikasi berkenaan
Golongan inilah yang menjadi sasaran utama aplikasi berkenaan, yang menggambarkan dirinya sebagai “teman keselamatan” kepada individu yang tinggal bersendirian.
Di samping itu, ia juga termasuk pekerja pejabat, pelajar yang menetap jauh daripada keluarga serta mereka yang memilih gaya hidup solo.
Seorang pengguna media sosial di China berpandangan, individu yang hidup bersendirian pada mana-mana peringkat kehidupan memerlukan sokongan seumpama itu.
Aplikasi tersebut sesuai untuk golongan introvert, mereka yang mengalami kemurungan, penganggur serta individu lain dalam situasi terdedah.

“Individu yang tinggal bersendirian mungkin meninggal dunia tanpa disedari dan tanpa sesiapa untuk dihubungi bagi mendapatkan bantuan
“Saya sendiri kadangkala terfikir, jika saya mati bersendirian, siapakah yang akan menguruskan jasad saya?” kata seorang lagi pengguna.
BBC melaporkan bahawa ada pihak mengecam nama aplikasi berkenaan yang dianggap kurang ‘ceria’, dengan menyatakan bahawa mendaftar untuknya mungkin membawa nasib malang.
Terdapat juga cadangan agar namanya ditukar kepada sesuatu yang lebih positif, seperti “Are You Ok?” atau “How Are You?”.
Walaupun kejayaan aplikasi itu sebahagiannya dipercayai disebabkan oleh nama yang mudah diingati, syarikat di sebalik aplikasi tersebut, Moonscape Technologies, menegaskan bahawa mereka mengambil serius kritikan terhadap tajuk semasa dan sedang menimbang kemungkinan untuk menukar namanya.
BACA: “Hadiah Paling Bermakna…” Dr. Akmal Sebak Terima Tawaran Haji
BACA: Pelancong Kongsi Makanan ‘Berbahaya’ Di Malaysia, Ramai Yang Setuju
BACA: Buat Tempahan Sejak 2010, Pemilik Kedai Terima Stok Telefon Nokia ‘Purba’ Pada 2026
Sumber: BBC
The post China Cipta Aplikasi “Are You Dead?” Untuk Individu Tinggal Seorang appeared first on Siakap Keli.




![[VIDEO] Wanita Warga Asing Didakwa Sudah Setahun ‘Berumah’ Di KLIA, Ramai Mohon Pihak Berwajib Ambil Tindakan](https://cdn.newswav.com/img/topic/world.jpeg)
