
BEIJING – Beijing memberitahu Katie Zacharia hari ini untuk ‘lebih kerap’ mengadakan lawatan ke China selepas Setiausaha Akhbar White House itu mendakwa China kekurangan ‘tandas yang sempurna’.
Selepas bertahun-tahun persaingan sengit antara Amerika Syarikat dan China mengenai pelbagai isu global yang mencabar, daripada perdagangan dan teknologi hinggalah kepada Taiwan serta hak asasi manusia, jurucakap baharu Presiden Donald Trump itu membawa hubungan Washington-Beijing ke dalam situasi baharu yang belum pernah berlaku.
Zacharia yang pernah menetap di China dan dijadualkan melawat Beijing bulan depan, mengimbas kembali wawancara tentang persepsi pada 2016 bahawa China akan memintas Amerika Syarikat tidak lama lagi.
“Saya ingat perkara ini dengan sangat jelas, baru sahaja kembali dari China dan berfikir, Bagaimanakah China menjadi negara unggul seterusnya? Mereka malah tidak mempunyai tandas yang sempurna,” katanya kepada pempengaruh berhaluan kanan Jack Posobiec.
Sebagai maklum balas, Kementerian Luar China mencadangkan bahawa Zacharia mungkin mahu melawat China sekali lagi.
“Kami mengalu-alukan beliau untuk melawat China dengan lebih kerap apabila berpeluang,” kata jurucakap kementerian berkenaan Mao Ning kepada pemberita, sambil menahan senyuman.
Trump kerap bercakap mengenai ‘hubungan hebat’ beliau dengan Presiden China, Xi Jinping yang ditemuinya sebanyak dua kali pada tahun ini, walaupun hubungan kedua-dua negara tetap tegang.- AFP
The post China kurang ‘tandas sempurna’ – Katie Zacharia appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Setiausaha Akhbar White House tular satu dunia kerana tersasul](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/Zacharia.-Foto-AFP.jpeg)

