China yakin boleh ‘menang mudah’ jika lawan Filipina

WorldPolitics
16 Oct 2026 • 1:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: China yakin boleh ‘menang mudah’ jika lawan Filipina

MANILA: China mendakwa negara itu boleh ‘menang dengan mudah’ dalam sebarang konflik dengan Filipina, namun menegaskan Beijing tidak akan memilih kekerasan.

Kenyataan duta China ke Filipina, Jing Quan itu bagaimanapun disifatkan Manila sebagai ancaman terselindung ketika ketegangan antara kedua-dua negara terus memuncak susulan pertikaian di Laut China Selatan.

“Kita sepatutnya berasa bertuah kerana mempunyai jiran seperti China di rantau ini. Jika kita mahu menggunakan kekerasan, kita boleh menang dengan mudah.

“Namun, kita tidak akan memilih jalan itu kerana kita cintakan keamanan,” katanya kepada pemberita tempatan di Manila semalam.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Ketua Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro, menyifatkan Beijing sebagai pengacau serantau.

Jing menolak dakwaan itu sebagai tidak berasas, selain menuduh Manila mengganggu pekerja dan guru China tanpa mengemukakan contoh khusus.

Dalam kenyataan balas lewat semalam, Kementerian Luar Filipina menyifatkan komen itu tidak membantu, memandangkan hubungan kedua-dua negara yang rumit.

“Kementerian kesal dengan pemilihan kata-kata Duta China, Jing Quan, yang seolah-olah menyampaikan ancaman terselindung berhubung penggunaan kekerasan,” menurut kenyataan itu.

Jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Laksamana Muda Jay Tarriela, sebelum itu menyifatkan kenyataan Jing sebagai ancaman langsung.

“Tiada rakyat yang berasa bertuah apabila negara jiran yang lebih besar berulang kali melanggar undang-undang, kemudian meminta mereka bersyukur kerana keadaan tidak menjadi lebih buruk.

“Tidak menggunakan kekerasan terhadap negara yang haknya sudah dicabuli bukanlah keamanan. Sebaliknya, ia satu bentuk paksaan melalui cara lain,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial X.

Beijing menuntut sebahagian besar kawasan Laut China Selatan meskipun keputusan antarabangsa mendapati tuntutan itu tidak mempunyai asas undang-undang.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kapal China dan Filipina berulang kali berdepan konfrontasi di kawasan perairan yang menjadi pertikaian itu, termasuk insiden perlanggaran dan kecederaan.

The post China yakin boleh ‘menang mudah’ jika lawan Filipina appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved