Chong Hong Chuon dilantik sebagai CEO AmFIRST REIT berkuat kuasa serta-merta

Business & Finance
1 Nov 2023 • 3:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Chong Hong Chuon dilantik sebagai CEO AmFIRST REIT berkuat kuasa serta-merta

zulfadli

01/11/2023 - 15:29

KUALA LUMPUR 1 Nov - Chong Hong Chuon secara rasminya memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AmREIT Managers Sdn Bhd, pengurus AmFIRST Real Estate Investment Trust (AmFIRST REIT), berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum ini, Chong memegang jawatan sebagai CEO sejak 1 Disember 2022, berikutan peletakan jawatan Raja Nazirin Shah Raja Mohamad sebagai CEO dan pengarah REIT ruang komersial 'untuk mengejar peluang lain'.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, AmFIRST REIT berkata, hasil daripada pelantikannya sebagai CEO, Chong pada masa sama melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) REIT, jawatan yang dipegangnya sejak November 2015.

Ia bukan kali pertama Chong memegang jawatan sebagai CEO. Pada Jun 2018, beliau dilantik sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AmREIT sehingga April 2019.

Pada masa itu, beliau kekal sebagai CFO AmREIT yang bertanggungjawab ke atas spektrum penuh hal kewangan yang berkaitan dengan AmFIRST REIT, termasuk pelaporan kewangan dan pengurusan, modal pengurusan, perbendaharaan dan percukaian.

AmFIRST REIT berkata, Chong mempunyai lebih 22 tahun pengalaman perakaunan kewangan dan pengurusan, terutamanya dalam REIT.

AmFIRST REIT memiliki lapan hartanah bernilai RM1.57 bilion di bawah portfolionya, termasuk bangunan AmBank Group, Menara AmBank, Wisma AmFIRST dan The Summit Subang USJ.

AmREIT dimiliki sepenuhnya oleh AmREIT Holdings Sdn Bhd, yang mana 70% dimiliki oleh AmInvestment Group Bhd dan 30% dimiliki oleh Amcorp Properties Bhd. - DagangNews.com