
PETALING JAYA – Seminggu selepas dimasukkan ke hospital, anak kepada penyanyi legenda, Uji Rashid Cico Harahap disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang sekitar pukul 11 pagi, semalam.
Berita pemergian Cico atau nama sebenarnya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 48, disahkan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Sandakiah Azez, yang memaklumkan Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke hospital berkenaan sejak seminggu lalu akibat mengalami kesukaran bernafas.
“Mulanya Cico dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), tetapi pada Khamis lalu dia sudah dipindahkan ke wad biasa.
“Bagaimanapun, punca kematiannya masih belum dapat dikenal pasti,” katanya.
Terdahulu, Cico mula aktif dalam bidang lakonan sekitar 1993 sebelum dikesan mengalami masalah kesihatan pada penghujung 2016.
Selain mendapatkan rawatan di hospital, Uji turut berusaha mencari ikhtiar lain dengan membawa anaknya menjalani rawatan perubatan Islam.
Perkembangan kesihatan Cico bagaimanapun pernah menunjukkan perubahan positif apabila laporan pada pertengahan 2025 memaklumkan keadaannya semakin baik, malah dia kelihatan lebih ceria dan kembali aktif berinteraksi dengan peminat menerusi aplikasi TikTok.
Namun, masalah pertuturan masih belum pulih sepenuhnya sehingga menjejaskan kemampuannya untuk kembali aktif dalam dunia lakonan.
Keadaan itu turut memberi kesan terhadap sumber pendapatannya apabila dia dilaporkan sudah lama tidak mempunyai pekerjaan tetap, selain banyak bergantung pada bantuan ibunya serta sumbangan persatuan artis termasuk Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
Sepanjang penglibatan dalam dunia seni, Cico yang bermula sebagai pelakon kanak-kanak pertama muncul menerusi filem Kekasih Awal dan Akhir (1993) sebelum mencipta fenomena pada akhir era 1990-an hingga pertengahan 2000-an .
Antara karya penting dalam karier seninya termasuklah lakonan dalam siri Puteri Impian (1997–1998), serta Anak Mami The Movie (2002) yang memartabatkan namanya. Allahyarham turut aktif menerusi pelbagai genre filem seperti Mistik (2003), Kuliah Cinta (2004), Cinta Fotokopi (2005), dan Bujang Telajak (2012). Filem terakhir dalam kerjayanya adalah produksi antarabangsa Hong Kong-China, Operation Mekong pada 2016. – KOSMO! ONLINE.
The post Cico Harahap meninggal dunia appeared first on Kosmo Online.






