Maman terkejut pemergian Cico, terkilan tidak sempat bertemu

EntertainmentLifestyle
8 Nov 2026 • 8:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Maman terkejut pemergian Cico, terkilan tidak sempat bertemu

KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan Teacher’s Pet, Maman atau nama sebenarnya, Rosman Lamri, 57, mengakui terkejut dengan pemergian sahabat dalam industri seni, Allahyarham Cico Harahap atau nama sebenarnya, Ezzaq Farrouq Harahap, yang disifatkannya sebagai kehilangan besar.

Maman berkata, dia tidak menyangka Allahyarham pergi dalam keadaan dirinya sebelum ini dilihat semakin pulih, malah sudah kembali aktif melakukan aktiviti kecergasan dan berinteraksi dengan peminat menerusi siaran langsung di media sosial.

Menurutnya, perubahan keadaan Allahyarham yang dilihat semakin baik membuatkan berita pemergian itu sukar dipercayai.

“Terkejut dengan berita ini. Setahu saya dia sudah nampak berbeza kerana dia mula bersenam  walaupun saya tahu sebelum ini dia sudah lama sakit. Ibunya, Uji, memang sudah banyak membantunya dan saya  juga selalu mengambil tahu tentang keadaannya.

“Tapi kita semua tahu, kalau Allah mahu mengambil seseorang daripada kita, tiada siapa yang tahu bila waktunya. Jadi, masa yang paling berharga ialah masa yang Allah berikan kepada kita. Nampaknya, sudah sampai waktunya untuk dia,” katanya.

Maman berkata demikian ketika ditemui selepas jenazah Cico dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, di sini, petang tadi.

Selain itu, mengimbas mengenai persahabatan mereka, Maman berkata, dia mengenali Cico sejak Allahyarham masih remaja pada era 1990-an, ketika sering bertemu di lokasi penggambaran drama Layar Lara.

Katanya, Cico yang ketika itu masih muda sering datang menemuinya dan berbual setiap kali mereka bertemu.

Bagaimanapun, Maman mengakui terkilan kerana tidak berkesempatan bertemu Allahyarham selepas mereka kembali berhubung menerusi media sosial, susulan penghijrahannya ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia pernah menghubungi Cico dan memaklumkan sudah berada di ibu negara, namun hubungan mereka sekadar terjalin menerusi media sosial.

“Saya tidak berkesempatan untuk berjumpa dengannya. Itulah yang membuatkan saya terkilan dan sebak. Kami sudah kembali berhubung sejak saya berhijrah ke sini.

“Tetapi saya tidak tahu mengapa dia tidak membalas atau memberikan respons seperti yang diharapkan. Namun, dia mengikuti akaun saya dan sering memberikan tanda suka pada setiap hantaran saya di media sosial.

“Saya pernah memberitahunya bahawa saya sudah berhijrah ke sini. Dia okey sahaja,” katanya.

Tambah Maman, dia juga menyedari perubahan sikap Cico sejak kebelakangan ini yang dilihat lebih tertutup berbanding ketika mereka mula-mula berkenalan.

“Memang abang mahu berjumpa dengannya, tetapi dia tidak mahu. Kita pun tidak tahu sebabnya. Namun, kita kehilangan satu jiwa yang sangat berharga. Apa yang dilaluinya tidak mungkin dapat kita lalui.

“Kita tidak tahu masalah yang dihadapi orang lain. Inilah dunia hiburan, kita dapat melihat sendiri bagaimana kehidupan artis dan anak-anak mereka. Setiap orang mempunyai ujian masing-masing. Kita sendiri tidak tahu bila tiba giliran kita,” katanya.

Dalam pada itu, Maman yang turut melalui pengalaman kehilangan insan tersayang berkata, pemergian Cico turut mengingatkannya kepada kehilangan anak, isteri dan bapanya yang berlaku secara berturut-turut.

“Saya sendiri sudah kehilangan anak, isteri dan bapa secara berturut-turut. Kehilangan itu berlaku satu demi satu. Kali ini, kehilangannya terasa seperti kehilangan seorang anak juga.

“Kita doakan yang terbaik buat mereka. Semoga Allah menempatkan mereka dalam kalangan orang yang beriman bersama Rasulullah SAW,” katanya.

Terdahulu, anak kepada penyanyi legenda, Uji Rashid itu meninggal dunia di Hospital Ampang, kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Allahyarham Cico sebelum ini dimasukkan ke hospital berkenaan sejak seminggu lalu selepas mengalami kesukaran bernafas.

The post Maman terkejut pemergian Cico, terkilan tidak sempat bertemu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved