
KUALA LUMPUR, 8 NOV: Anak kepada penyanyi veteran Uji Rashid, iaitu Ezzaq Farouq Harahap Jamaludin atau lebih dikenali sebagai Cico Harahap, 48, meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini pada 11 pagi tadi.
Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) Sandakiah Azez berkata Cico dimasukkan ke hospital berkenaan sejak minggu lepas setelah mengalami kesukaran bernafas.
Beliau berkata jenazah Cico akan dibawa ke surau Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan.
“Keluarga sedang menguruskan perkara berkaitan. Kami belum mendapat maklumat tepat mengenai waktu solat jenazah dan pengebumian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sepanjang penglibatannya dalam industri seni, Allahyarham pernah membintangi pelbagai filem dan drama, antaranya Mami Jarum, Mistik, Potret Mistik, Dollah Superstar dan Jutawan Fakir.





