amree20/11/2026 - 09:50 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov — Kontraktor pembinaan yang berstatus tidak aktif berdepan risiko kehilangan Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK), termasuk kemungkinan pengarah atau pemilik syarikat disenarai hitam selama setahun jika gagal mengemas kini status sebelum 29 November 2026.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sehubungan itu menggesa semua kontraktor terbabit yang sudah menerima pemakluman status dorman mereka supaya segera mengemukakan bukti penglibatan aktif syarikat berkenaan menerusi sistem CIMS CIDB dalam tempoh ditetapkan.
Tambah agensi berkanun di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) itu, pemakluman tersebut telah dihantar pada 9 November 2026, sekali gus memberikan kontraktor terlibat dengan tempoh selama 21 hari untuk perlu mengemas kini maklumat serta mengemukakan dokumen sokongan yang berkaitan.
"Program Pengemaskinian Senarai Daftar Kontraktor Dorman dilaksanakan bagi memastikan senarai kontraktor yang berdaftar mencerminkan situasi semasa syarikat yang memang benar-benar aktif dalam aktiviti industri pembinaan di seluruh negara ini," jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah CIDB, definisi kontraktor dorman merujuk kepada status syarikat berdaftar dengan badan tersebut, namun mereka tidak pernah pun mengisytiharkan pelaksanaan sebarang projek atau penyertaan mereka dalam apa-apa tender perolehan kerja sepanjang tiga tahun yang terkini.
Pada masa sama, ia turut memaklumkan pengelasan kontraktor dorman dilaksanakan selama ini akan dimansuhkan mulai 1 Januari 2027. Justeru kontraktor yang masih lagi berstatus sebagai tidak aktif selepas tarikh tersebut akan langsung dikeluarkan daripada senarai kontraktor berdaftar.

Bagi kontraktor gred G1 hingga G6, syarikat perlu mengemukakan bukti sekurang-kurangnya satu projek atau 12 penyertaan perolehan dalam tempoh tiga tahun terkini. Kontraktor G7 pula wajib memenuhi kedua-dua syarat, iaitu sekurang-kurangnya satu projek dan 12 penyertaan tender.
"Pengisytiharan projek berkenaan perlu dilaksanakan kontraktor tersebut menerusi sistem Modul Pengisytiharan Projek, manakala bukti penyertaan perolehan atau tender juga perlu dimuat naik melalui Modul Pendaftaran Kontraktor dalam sistem CIMS CIDB," kata kenyataan itu.
Ujarnya lagi, selepas berjaya melengkapkan pengemaskinian dokumen dan maklumat, kontraktor juga perlu menukar status pengelasan daripada DORMAN kepada AKTIF menerusi Modul Pendaftaran Kontraktor agar mereka tidak terkeluar daripada senarai kontraktor berdaftar di bawah CIDB.
Menurutnya, kegagalan pematuhan boleh menyebabkan PPK ditarik balik berdasarkan Klausa 6.3 Syarat dan Terma Pendaftaran Kontraktor CIDB. Penarikan balik itu turut menyebabkan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) dan Sijil Taraf Bumiputera (STB) tidak lagi sah sepanjang tempoh berkenaan.
Kontraktor yang menerima pemakluman boleh mengemas kini maklumat melalui portal CIMS CIDB iaitu https://cims.cidb.gov.my/. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan menerusi e-Bantuan CIDB di https://www.cidb.gov.my/e-bantuan/ atau CIDB Careline di talian 03-5567 3300. - DagangNews.com




