CIDB dan Daikin sasar bangunkan 80 peserta industri menerusi program pembangunan vendor 2027-2030

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 5:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CIDB dan Daikin sasar bangunkan 80 peserta industri menerusi program pembangunan vendor 2027-2030 Image from: CIDB dan Daikin sasar bangunkan 80 peserta industri menerusi program pembangunan vendor 2027-2030 amree18/11/2026 - 17:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov — Seramai 80 peserta disasarkan mengikuti Program Pembangunan Vendor (VDP) Daikin bagi tempoh 2027 hingga 2030 menerusi kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd.

 

Usaha itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara CIDB Holdings Sdn Bhd dengan Daikin Malaysia Sales & Service, yang memberi tumpuan kepada latihan teknikal, pensijilan serta peningkatan kompetensi peserta untuk memenuhi keperluan industri.

 

Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Sr Ahmad Farrin Mokhtar berkata, kerjasama  bagi memperkukuh keupayaan kontraktor tempatan dalam industri penyaman udara itu merupakan kesinambungan VDP Daikin 2026 dilaksanakan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Daikin Academy.

 

Kesemua 20 peserta program yang terdahulu, sudah berjaya menamatkan latihan dan berdaftar sebagai penyedia perkhidmatan kepada Daikin, namun beliau menegaskan pendaftaran tersebut bukan jaminan untuk mereka mudah memperoleh sebarang kontrak baharu.

 

"Sebaliknya peserta berkenaan perlu membuktikan tahap prestasi, kualiti perkhidmatan dan keupayaan memenuhi keperluan pasaran semasa agar dapat seiring dengan ramai pesaing hebat yang lain," kata beliau dalam kenyataan CIDB pada Rabu.

 

Latihan VDP tersebut merangkumi pensijilan Air Conditioner Certified Technician (ACCT), pengurusan projek, kawalan kos dan pemantauan belanjawan, pentadbiran kontrak serta tender dan pengenalan kepada Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).

 

Di bawah pemeteraian MoU berkenaan, CIDB Holdings bertanggungjawab merancang, menyelaras dan memantau program, manakala Daikin menyediakan kepakaran teknikal, modul latihan, tenaga pengajar, kemudahan serta penilaian kompetensi. 

 

CIDB_DagangNews2026

 

Kerjasama berkenaan jelas Ahmad Farrin, turut merangkumi pelbagai aspek bimbingan keperluan vendor dan peluang padanan perniagaan, tertakluk kepada dasar serta keperluan Daikin.

 

Dalam perkembangan berkaitan, CIDB turut mengetengahkan 10 inovator menerusi program Pitching @ SFERA bagi membawa pelbagai rumusan teknologi dan inovasi terkini ke arah penggunaan serta pengkomersialan dalam industri pembinaan negara.

 

"Program Small Facilities Embarking Resilient Innovation (SFERA) dengan kerjasama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) membantu kontraktor industri membangunkan penyelesaian praktikal berdasarkan cabaran sebenar sektor pembinaan," katanya.

 

Antara inovasi yang diketengahkan termasuk pengurusan projek berasaskan kecerdasan buatan (AI), kembar digital, pemadanan kontraktor, pemeriksaan aset, pemantauan tapak, latihan realiti maya, perumahan modular, bahan binaan biokomposit dan penilaian kompetensi BIM.

 

Seramai 30 peserta sebelum ini mengikuti bengkel pembangunan idea dan pembentangan serta pembangunan model perniagaan bagi memperhalusi potensi produk dan perkhidmatan masing-masing, dengan kemajuan inovasi dipandu berdasarkan Tahap Kesediaan Teknologi (TRL).

 

Ahmad Farrin berkata, usaha menerusi SFERA dan VDP Daikin mencerminkan pendekatan CIDB memperkukuh produktiviti, kualiti, keselamatan serta kelestarian industri, selain meningkatkan keupayaan kontraktor tempatan menguasai teknologi dan menyertai rantaian bekalan.

 

Beliau turut menggalakkan pelabur, pakar industri dan agensi penaja membimbing serta menguji inovasi berpotensi dalam persekitaran sebenar. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved