CIDB wartakan 9 lagi produk binaan, industri diberi masa persediaan hingga Februari 2027

21 Aug 2026 • 11:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CIDB wartakan 9 lagi produk binaan, industri diberi masa persediaan hingga Februari 2027 Image from: CIDB wartakan 9 lagi produk binaan, industri diberi masa persediaan hingga Februari 2027 amree21/08/2026 - 11:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos — Kualiti dan keselamatan bahan binaan negara diperkukuh apabila Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menambah sembilan lagi produk binaan ke dalam Jadual Keempat Akta 520, sekali gus memperluas kawal selia terhadap bahan digunakan dalam sektor pembinaan.

 

Agensi tersebut dalam kenyataan berkata, penambahan itu membabitkan 22 standard dan merupakan sebahagian usaha meningkatkan kualiti, ketahanan serta keselamatan produk dan bahan binaan dalam industri pembinaan negara.

 

Perintah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Pindaan Jadual Keempat) 2026 sudah diwartakan dan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026, menjadikan sebanyak 102 produk dan bahan binaan dalam 11 kategori kini disenaraikan di bawah Jadual Keempat Akta 520.

 

"Bagaimanapun, CIDB memberi tempoh peralihan selama enam bulan kepada penggiat industri, dengan penguatkuasaan terhadap keperluan yang dipinda hanya bermula Februari 2027, bagi memberi ruang mencukupi untuk membuat persediaan dan mendapatkan perakuan yang diperlukan," katanya.

 

Sembilan produk tambahan itu merangkumi tiga produk besi dan keluli, dua produk konkrit, tiga produk gentian dan komposit serta satu produk kaca. Selain itu, 14 standard baharu ditambah kepada produk yang telah disenaraikan sebelum ini, manakala enam standard dikeluarkan kerana tidak lagi relevan.

 

CIDB berkata, pindaan berkenaan memberi implikasi secara langsung kepada pihak yang mengilang, mengimport, mengeksport, membekal, memasarkan, menjual, membeli atau menggunakan produk dan bahan binaan yang tersenarai.

 

CIDB_DagangNews2026

 

Sehubungan itu, penggiat industri perlu menyemak senarai Jadual Keempat terkini bagi mengenal pasti produk yang terlibat serta memastikan pematuhan terhadap standard ditetapkan dan mendapatkan Perakuan Pematuhan Standard (PPS) daripada CIDB sebelum penguatkuasaan bermula.

 

"Pematuhan standard penting kerana kualiti dan prestasi bahan binaan mempunyai kesan langsung terhadap kualiti, ketahanan serta keselamatan sesuatu kerja pembinaan, selain membantu mengurangkan risiko penggunaan bahan yang tidak memenuhi spesifikasi," jelasnya.

 

Pindaan itu turut menyokong Teras Strategik 1: Kualiti, Keselamatan & Kesihatan di bawah Pelan Tindakan Pembinaan 2026–2030 (CAP30), yang memberi penekanan kepada peningkatan standard kualiti pembinaan melalui inovasi, pematuhan dan kompetensi.

 

CIDB akan mengeluarkan surat pekeliling kepada pihak industri berkaitan dan menggesa penggiat industri menggunakan tempoh peralihan yang diberikan bagi memastikan semua produk dan bahan binaan masing-masing memenuhi keperluan sebelum penguatkuasaan bermula pada Februari 2027.

 

Di bawah Akta 520, pihak yang didapati bersalah berurusan dengan produk dan bahan binaan yang tersenarai dalam Jadual Keempat tanpa perakuan CIDB yang diperlukan boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM500,000. 

 

Permohonan PPS boleh dilakukan melalui platform Certification of Construction Product & Material (CCPM) CIDB menerusi laman web https://ccpm.cidb.gov.my. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved