
TENOM: Petani dan penternak di Sabah diminta membuat persediaan awal menghadapi fenomena El Nino yang dijangka membawa cuaca panas berpanjangan bermula September hingga Februari tahun depan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata pihaknya sudah menubuhkan pasukan petugas khas selain menyediakan garis panduan kepada petani, penternak, nelayan dan pengusaha tanaman bagi menghadapi keadaan itu.
Katanya, antara langkah yang perlu diberi perhatian ialah mengelakkan pembakaran terbuka dan pembukaan kawasan baharu, selain menyediakan sumber simpanan air terutama di kawasan yang mempunyai takungan air.
“Kita sudah mengadakan perbincangan dan menyediakan garis panduan kepada semua petani, penternak, nelayan dan pengusaha tanaman supaya berhati-hati semasa musim ini.
“Jangan membuat pembakaran terbuka dan jangan membuka kawasan baharu. Di kawasan yang mempunyai takungan air, diminta membuat kolam sebagai simpanan air untuk jangka masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Jabatan Penerangan Negeri Sabah di Pejabat Pertanian Tenom, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor; Pegawai Pertanian Daerah Tenom, Ts Mohammad Fauzi Ab Gulam; Pegawai Penerangan Tenom, Kenny Thomas dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Melalap, Densely Justin.
Jamawi berkata pengusaha ternakan termasuk lembu tenusu dan kambing serta sektor perikanan juga perlu mengambil langkah persediaan bagi mengurangkan kesan cuaca panas terhadap aktiviti masing-masing.
Katanya, reka bentuk kandang perlu mempunyai pengudaraan yang baik selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian.
“Saya akan kongsi dengan Jabatan Perikanan supaya dapat disebarluaskan SOP kita menghadapi El Nino,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah sedang memperkukuh pembangunan industri pertanian di kawasan pedalaman sebagai sebahagian daripada perancangan mewujudkan zon industri berasaskan aktiviti pertanian.
Katanya, kawasan Pantai Barat Sabah sudah mempunyai pelbagai zon industri termasuk Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), manakala Pantai Timur mempunyai pusat industri minyak sawit (POIC) di Sandakan dan Lahad Datu.
“Di pedalaman ini kita cadangkan sebagai zon industri pertanian,” katanya. – UTUSAN
The post Sabah ingatkan petani, penternak bersedia hadapi cuaca panas berpanjangan – Jamawi appeared first on Utusan Malaysia.





