Seorang guru wanita di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching, Sarawak cedera ketika cuba merampas objek tajam yang dibawa seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun.
Memetik Awani, insiden tersebut berlaku pada pagi Rabu (21 October) di kawasan TK4.
Menurut pihak sekolah, guru berkenaan sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala pelajar terbabit berjaya dikawal dan diletakkan di bawah pengawasan sementara menunggu tindakan lanjut selain ibu bapanya juga sudah dihubungi, lapor Harian Metro.
Difahamkan pelajar lelaki terbabit juga sempat membuat rakaman sebelum insiden berkenaan dan video tersebut kini tular di media sosial.
Polis yang tiba di lokasi kemudiannya mengambil alih pengendalian kes dan hasil pemeriksaan terhadap beg pelajar itu turut menemukan satu barangan yang memerlukan pemeriksaan lanjut.
Susulan kejadian, pelajar yang berada berhampiran lokasi dipindahkan bagi memastikan keselamatan mereka. Pihak sekolah juga mengarahkan penutupan sekolah atas nasihat polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak dalam satu kenyataan memaklumkan guru yang diserang mengalami luka pada bahagian tangan.
“Polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti keseluruhan punca kejadian serta mendapatkan bukti-bukti berkaitan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian ini, demi menghormati proses siasatan dan menjaga kepentingan semua pihak yag terlibat,” kata beliau dipetik Utusan Sarawak.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957 (ABKL 1957).







