amree06/11/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov — Industri kewangan Islam menerusi Malaysia Overnight Islamic Rate (MYOR-i), memasuki penanda aras baharu, dengan transaksi pembiayaan patuh Syariah kadar berubah bernilai RM100 juta yang dimeterai Standard Chartered Saadiq Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad.
Kedua-dua institusi kewangan itu melengkapkan transaksi melalui Program Komoditi Murabahah pada 27 Oktober 2026, dengan menggunakan struktur kadar terapung yang merujuk kepada MYOR-i berdasarkan Nota Amalan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM).
Menurut kenyataan bersama kedua-dua institusi pada Jumaat, transaksi berkenaan dapat dilaksanakan berasaskan konsep Tawarruq yang menggunakan urus niaga pembelian dan penjualan komoditi bagi memudahkan deposit antara bank sentiasa mematuhi segala prinsip Syariah.
"Pelaksanaan ini menjadi langkah penting dalam usaha kami menerapkan kerangka piawaian industri ke dalam transaksi sebenar, sekali gus memudahkan pelaksanaan kontrak serta meningkatkan lagi tahap keseragaman amalan pasaran kewangan Islam pada ketika ini," kata mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Saadiq, Bilal Parvaiz berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen berterusan institusi itu dalam menyokong pembangunan pasaran kewangan Islam Malaysia ketika industri beralih kepada MYOR-i.
Beliau menambah, penggunaan Nota Amalan AIBIM bersama-sama dengan CIMB Islamic dijangka mampu membantu dalam memperkukuh penyeragaman amalan industri dan membuktikan kebolehgunaan penanda aras baharu itu dalam transaksi antara bank.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, peralihan kepada MYOR-i merupakan perkembangan penting dalam memperkukuh pasaran kewangan Islam negara, khususnya dari aspek amalan pasaran dan konsistensi pelaksanaan transaksi.
"Kerjasama ini turut mencerminkan usaha kolektif industri untuk berupaya membangunkan pasaran kewangan Islam yang lebih kukuh, mempunyai kecairan lebih baik dan progresif menerusi inovasi produk serta kerjasama antara institusi," jelas beliau lagi.
Transaksi terbaharu itu melanjutkan siri urus niaga MYOR dan MYOR-i antara Standard Chartered dan Kumpulan CIMB sepanjang 2026, termasuk transaksi repo Islam bernilai RM960 juta pada Jun lalu yang menggunakan struktur Komoditi Murabahah Bercagar.
Kerjasama berkenaan kata kenyataan berkenaan, akan turut merangkumi transaksi repo konvensional sebanyak RM1 bilion dan transaksi pasaran wang konvensional berjumlah RM300 juta pada Julai 2026, yang kedua-duanya itu merujuk kepada MYOR.
Terdahulu, Standard Chartered Saadiq dan CIMB Islamic turut bekerjasama dalam transaksi Komoditi Murabahah Bercagar mampan bernilai RM1 bilion pada 2022, dengan hasilnya diperuntukkan kepada aset dan projek patuh Syariah yang layak.
Ia dilaksanakan di bawah Rangka Kerja Bon dan Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan Kumpulan CIMB. Kedua-dua institusi itu juga merupakan ahli pengasas Rangkaian Perniagaan Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC). - DagangNews.com



