amree23/10/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt – BMS Holdings Berhad membatalkan cadangan pengambilalihan tanah bernilai RM23.8 juta di Cheras, Selangor selepas kumpulan itu gagal mencapai persetujuan dengan penjual berhubung terma urus niaga berkenaan.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, pembatalan itu menyaksikan rancangan pengembangan operasi syarikat peruncitan jubin dan bahan binaan tersebut menerusi pembangunan kemudahan operasi baharu tidak diteruskan seperti dirancang.
Tanah berkenaan, yang dilengkapi bengkel dan pejabat, pada asalnya dicadangkan sebagai tapak bagi menempatkan bilik pameran runcit, pejabat serta ruang penyimpanan untuk menyokong perkembangan operasi perniagaan kumpulan tersebut.
"Bagaimanapun, BMS tidak menjangkakan langkah penamatan urus niaga itu memberi sebarang kesan material terhadap pendapatan, aset bersih atau nisbah penggearan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 (FY27)," jelasnya.
Kumpulan berkenaan namun menambah, penjual aset tersebut, Chyen Huat Hardware Sdn Bhd, sudah pun memulangkan deposit wang pendahuluan kepada syarikat itu susulan penamatan bersama cadangan pengambilalihan tersebut.
Pada masa sama ujarnya, kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa tiada tuntutan secara lebih lanjut akan dilaksanakan terhadap satu sama lain berhubung urus niaga berkenaan. Cadangan pembelian tanah itu diumumkan kira-kira dua bulan sebelum ini.

Ia merupakan sebagai sebahagian daripada usaha BMS memperluas kapasiti operasi. Bagaimanapun, syarikat tidak memperincikan sama ada terdapat rancangan alternatif bagi mendapatkan premis atau tanah lain untuk tujuan pengembangan tersebut.
Kumpulan berpangkalan di Johor Bahru, Johor itu ditubuhkan pada 1993 menerusi perniagaan dikenali Jubin 1990. Syarikat induk BMS Holdings Berhad pula diperbadankan pada 31 Mac 2023 sebelum ditukar kepada syarikat awam pada Mac 2025.
Teras perniagaannya ialah peruncitan, pemborongan dan jualan projek bagi jubin serta permukaan batu, termasuk porselin dan seramik, batu semula jadi, batu kejuruteraan dan mozek. Kumpulan itu turut menawarkan produk kelengkapan bilik mandi serta dapur.
BMS disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 Disember 2025 pada harga tawaran awam permulaan (IPO) 22 sen sesaham. Sahamnya ditutup susut 0.5 sen atau 3.85% kepada 12.5 sen pada dagangan 22 Oktober 2026, memberikan permodalan RM193 juta.
Walaupun pembatalan pembelian tanah itu tidak dijangka memberi kesan kewangan material dalam FY2027, perkembangan seterusnya berkaitan rancangan pengembangan kemudahan operasi kumpulan kekal sebagai perkara yang boleh diperhatikan pelabur. - DagangNews.com




