amree08/10/2026 - 17:33 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt — MTT Shipping and Logistics Berhad (MTTSL) memohon mandat pemegang saham bagi urus niaga berulang pihak berkaitan (RRPT) bernilai keseluruhan RM157.85 juta dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan tersebut pada 4 November 2026.
Syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 21 April 2026 itu berkata, EGM berkenaan akan mendapatkan mandat terhadap RRPT yang dilaksanakan serta kelulusan baharu bagi tempoh sehingga Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) berikutnya.
Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, berdasarkan pekeliling kepada pemegang saham yang bertarikh 8 Oktober 2026, nilai sebenar RRPT dari tarikh penyenaraian pada 21 April 2026 hingga 15 September 2026 adalah berjumlah RM47.15 juta.
"Bagi tempoh 15 September 2026 hingga tarikh EGM pada 4 November 2026 pula, nilai RRPT dianggarkan berjumlah RM19.95 juta, manakala mandat baharu yang dicadangkan bagi tempoh selepas EGM sehingga AGM akan datang membabitkan anggaran RM90.76 juta," kata MTTSL.
Antara transaksi utama ialah penyediaan perkhidmatan MTT Shipping Sdn Bhd kepada Greenpen Freight Services Sdn Bhd (GFS) dengan nilai anggaran RM21.33 juta, manakala Sea Navigator Limited dijangka menyediakan perkhidmatan sama kepada GFS bernilai RM31.42 juta.
MTTSL turut menjangka transaksi perkhidmatan fret dengan Priority Synergy Sdn Bhd bernilai RM17.36 juta serta perkhidmatan depoh kontena oleh ICS Depot Services Sdn Bhd kepada Evergreen Marine Corp (Malaysia) Sdn Bhd bernilai RM3.95 juta.

Tambah MTTSL, urus niaga berkenaan melibatkan kepentingan dengan pihak berkaitan termasuk Pengerusi Eksekutif Bukan Bebas dan merangkap pemegang saham utamanya sendiri, Datuk Seri Ong Kean Lee, serta Pengarah Urusan, Ooi Lean Hin.
"Kepentingan pihak berkaitan turut melibatkan Pengarah Eksekutif, Ong Yee Sian; Pengarah Eksekutif, Chan Huan Hin; pemegang saham utama, Ong Guat Ee; dan Malaysia Trade & Transport Company Sdn Bhd," jelas kenyataan kumpulan berkenaan.
Ujarnya lagi, mandat RRPT diperlukan bagi memastikan urus niaga bersifat berulang dan berkaitan dengan operasi harian kumpulan dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa perlu mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi setiap transaksi secara berasingan.
Kata MTTSL, mekanisme itu juga dapat mengurangkan kos serta masa pentadbiran, di samping membolehkan kumpulan meneruskan peluang perniagaan tanpa sebarang kelewatan, tertakluk kepada prosedur kawalan dan pemantauan yang ditetapkan.
Jawatankuasa Audit MTTSL yang dipengerusikan Datuk Razman Hafidz Abu Zarim berpandangan prosedur kawalan syarikat adalah mencukupi bagi memastikan RRPT dilaksanakan secara saksama dan tidak menjejaskan kepentingan pemegang saham minoriti.
"Syarikat turut berpandangan, cadangan tersebut tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan, pegangan pemegang saham utama, aset bersih atau pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026," tambahnya. - DagangNews.com






