CIMB sediakan RM7.6 juta menerusi Biasiswa ASEAN 2023 kepada 14 pelajar

30 Oct 2023 • 12:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CIMB sediakan RM7.6 juta menerusi Biasiswa ASEAN 2023 kepada 14 pelajar

diyana

30/10/2023 - 12:53

KUALA LUMPUR 30 Okt - CIMB Group Holdings Berhad menyediakan biasiswa bernilai RM7.6 juta kepada 14 pelajar, di bawah program Biasiswa ASEAN 2023 untuk memberi peluang kepada belia berpotensi tinggi melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi pilihan mereka.

Sejak penubuhannya pada 2016, inisiatif tersebut telah memberi kesan positif kepada 120 penerima dengan jumlah biasiswa sehingga RM70 juta setakat ini.

Di Malaysia, biasiswa diberikan melalui Yayasan CIMB, manakala di negara lain ia akan diberikan oleh entiti perbankan tempatan masing-masing di bawah kumpulan.

Kembali untuk tahun kelapan berturut-turut, penerima biasiswa tahun ini terdiri daripada calon dinamik dan pelbagai dari negara ASEAN utama, termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Filipina.

Biasiswa ini meliputi yuran pengajian, elaun sara hidup, insurans dan perbelanjaan lain yang berkaitan sepanjang pengajian mereka.

Penerima biasiswa juga akan dibekalkan dengan mentor kerjaya dari CIMB sepanjang tempoh pengajian mereka, sebelum memasuki pekerjaan sepenuh masa dengan CIMB selepas tamat pengajian.

Mereka juga boleh menjalani latihan amali semasa cuti pengajian yang akan memberikan mereka pengalaman bekerja di CIMB, serta berpeluang menyertai program pelatih pengurusan berstruktur CIMB seperti program The Complete Banker (TCB), TCB Digital dan program TCB yang bertumpukan kelestarian.

Ketua Pegawai Operasi & Manusia Kumpulan CIMB, Gurdip Singh Sidhu berkata sejak Program Biasiswa CIMB ASEAN bermula pada 2016, kumpulan itu telah mencapai kemajuan besar dalam memangkin pertumbuhan pemimpin masa depan.

image is not available
Gurdip Singh Sidhu

Beliau berkata pencapaian tersebut membuktikan komitmen berterusan CIMB dalam memperkasakan generasi pemimpin akan datang dengan laluan pendidikan untuk memajukan pendidikan tinggi mereka di universiti terkemuka di peringkat global.

“Program ini akan memupuk minda muda ini, mengubah mereka menjadi pemimpin masa depan di seluruh ASEAN. Bagi pihak kumpulan, kami mengucapkan tahniah kepada penerima biasiswa CIMB ASEAN 2023 dan kami berharap dapat membantu merealisasikan cita-cita mereka,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Maklumat lanjut mengenai program Biasiswa CIMB ASEAN boleh dilayari di https://www.cimb.com/en/careers/students/cimb-asean-scholarship.html. - DagangNews.com