
Selamat pagi dan kita mulakan hujung minggu ini dengan Google Earth mematikan ciri menjana imej menggunakan Nano Banana yang diumumkan semalam. Ciri ini dimatikan beberapa jam selepas dilancarkan selepas menerima reaksi negatif di atas talian.
Antara kerisauan pengguna ialah imej Google Earth yang dipercayai sebagai sumber sahih boleh dimanipulasi untuk tujuan yang salah. Misalnya menggunakan Google Earth untuk menjana bencana, atau kerosakan akibat serangan.
Google berkata selepas melihat imej yang melanggar terma dan syarat mula dikongsi di media sosial, mereka bertindak mematikannya seketika. Ciri ini akan dikembalikan semula selepas kekangan diletakkan bagi mengelakkan Nano Banana digunakan untuk menjana imej yang tidak dibenarkan.



