Citaglobal catat untung bersih RM25.2 juta

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 5:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Citaglobal catat untung bersih RM25.2 juta

KUALA LUMPUR: Citaglobal Berhad (Citaglobal) mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM25.2 juta bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2026 (FP2026), meningkat 70.3 peratus berbanding RM14.8 juta yang direkodkan tahun 2024.

Prestasi itu dicapai menerusi hasil sebanyak RM606.2 juta, dengan segmen Kejuruteraan Awam dan Pembinaan (CEC) serta Hartanah kekal sebagai penyumbang utama pendapatan kumpulan.

Secara tahunan, prestasi PATMI FP2026 bersamaan kira-kira RM16.8 juta, meningkat sekitar 13 peratus berbanding tahun kewangan 2024, sekali gus mencerminkan pertumbuhan pendapatan yang berterusan daripada perniagaan teras kumpulan.

Pendapatan asas sesaham bagi FP2026 pula berada pada 5.60 sen.

Segmen CEC muncul penyumbang terbesar dengan hasil RM292.1 juta atau 48.2 peratus daripada jumlah pendapatan kumpulan, diikuti Hartanah sebanyak RM129.3 juta.

Sementara itu, telekomunikasi menyumbang RM65.4 juta, manakala tenaga dan pembuatan masing-masing menyumbang RM62.1 juta dan RM56 juta.

Bagi suku tahun berakhir 30 Jun 2026 (S6 FP2026), Citaglobal merekodkan hasil RM214.2 juta, lebih tiga kali ganda berbanding RM67 juta pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan itu dipacu terutamanya segmen Hartanah yang menyumbang RM107.4 juta dan CEC sebanyak RM55.5 juta.

Telekomunikasi pula menyumbang RM31.7 juta, manakala Tenaga dan Pembuatan masing-masing merekodkan RM8.8 juta.

Kumpulan turut mencatatkan PATAMI sebanyak RM7.3 juta bagi S6 FP2026.

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria, berkata pencapaian keuntungan itu membuktikan strategi dan pelaksanaan kumpulan mula diterjemahkan kepada pertumbuhan pendapatan.

“CEC dan Hartanah kekal sebagai asas pendapatan kami, dan keutamaan segera kami adalah melaksanakan buku pesanan RM1.4 bilion yang telah kami pegang, menukar kerja yang dianugerahkan kepada hasil, pendapatan dan aliran tunai mengikut jadual,” katanya dalam kenyataan.

Setakat 30 Jun 2026, Citaglobal mempunyai buku pesanan tertunggak kira-kira RM1.4 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan jangka sederhana kepada kumpulan.

Dalam tempoh sama, kumpulan memperoleh subkontrak bernilai RM37.8 juta di bawah projek LRT Mutiara Pulau Pinang, sekali gus mengukuhkan portfolio projek infrastrukturnya.

Citaglobal turut memperluas sumber pertumbuhan menerusi inisiatif tenaga baharu, telekomunikasi dan alam sekitar, termasuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan projek Bio-CNG.

Menurut kumpulan, usaha itu bertujuan meningkatkan sumbangan daripada perniagaan yang mampu menjana pendapatan lebih mampan dan berulang, sekali gus melengkapkan pendapatan berasaskan projek sedia ada.

Melangkah ke hadapan, Citaglobal kekal optimis dengan berhati-hati terhadap prospek kumpulan, disokong buku pesanan yang kukuh, pelaburan infrastruktur berterusan serta peluang daripada agenda peralihan tenaga Malaysia.

Kumpulan turut mempunyai jumlah aset melebihi RM1 bilion dan aset bersih sesaham sebanyak RM1.02, memberikan asas lebih kukuh untuk pelaksanaan projek serta pertumbuhan pada tahun kewangan baharu.-UTUSAN

 

The post Citaglobal catat untung bersih RM25.2 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved