Rancangan 99 Speed Mart buka 250 cawangan baharu setiap tahun diyakini boleh dicapai, kata RHB Research

17/04/2025 - 15:57
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 17 April - RHB Research yakin rancangan 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd untuk membuka 250 cawangan baharu setiap tahun bagi memacu pertumbuhan kumpulan boleh dicapai.
Katanya, ia disokong oleh keutamaan pengguna yang semakin meningkat bagi format kedai yang lebih kecil untuk barangan runcit selain peralihan ke arah pengendalian rantaian pasar sekali gus memberi cabaran kepada peruncit bebas.
"Kami juga percaya masih terdapat peluang di kawasan yang kurang ditembusi untuk 99 Speed Mart memanfaatkannya," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, antara format runcit yang paling pesat berkembang di Malaysia adalah konsep pasar mini, format yang digunakan secara strategik bagi menangkap pertumbuhan yang stabil bagi perbelanjaan pengguna domestik.
Katanya, ia juga disokong oleh campuran produk berorientasikan keperluan harian dan lokasi yang tersebar luas di seluruh negara.
"Sebagai peneraju pasaran, 99 Speed Mart telah membina rangkaian kedai gergasi dengan memanfaatkan model perniagaannya dan ekuiti jenama yang terbukti," katanya.
RHB Research berkata, usaha kumpulan itu mempelbagaikan pilihan penyumberan produk dilihat sebagai langkah strategik dalam meningkatkan tawaran produk bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin berkembang,
"Dengan pengenalan platform jualan pukal, 99 Bulksales, ia merupakan strategi efektif untuk mengembangkan pasaran yang boleh dicapai oleh 99 Speed Mart.
"Diskaun pembelian pukal dan penghantaran percuma bersyarat melalui 99 Bulksales juga mungkin menjadi tarikan kepada pelanggan yang kurang berminat dengan perkhidmatan model perniagaan runcit tradisional," katanya.
Firma penyelidikan itu memulakan liputan terhadap kumpulan itu dengan sasaran "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.39 sesaham.- DagangNews.com
standard

