CMCF, FINAS temui pihak produksi drama Madu atau Racun petang ini

LocalMovie
2 Sep 2026 • 3:59 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: CMCF, FINAS temui pihak produksi drama Madu atau Racun petang ini

PUTRAJAYA: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan mengadakan pertemuan dengan pihak produksi serta platform penstriman pada petang ini bagi mendapatkan penjelasan menyeluruh berhubung kandungan membabitkan drama Madu atau Racun yang telah mencetuskan keresahan dan kontroversi dalam kalangan masyarakat.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pertemuan itu diadakan susulan isu berkenaan yang dibincangkan secara meluas di platform media sosial serta kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

“Walaupun kandungan drama dan filem yang disiarkan melalui platform over-the-top (OTT) pada masa ini tidak tertakluk secara langsung kepada pemantauan pelesenan FINAS, kementerian telah mengarahkan CMCF yang berada di bawah jagaan MCMC bersama dengan FINAS untuk mengadakan pertemuan dengan pihak produksi dan juga pihak iQIYI pada petang ini untuk mendapatkan penjelasan menyeluruh berhubung kandungan drama yang dimaksudkan.

“Pihak Jakimjuga akan turut mengambil bahagian dalam pertemuan tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.

Terdahulu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama Madu atau Racun yang didakwa menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat.

Menterinya, Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihaknya kesal dengan tindakan menerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan menjelaskan bahawa FINAS mempunyai bidang kuasa mengawal selia aktiviti berkaitan perfileman atau pawagam, manakala MCMC mengawal selia perkara berkaitan penyiaran televisyen dan komunikasi.

Namun, katanya, platform penstriman OTT pada masa ini belum tertakluk sepenuhnya kepada kerangka pelesenan seperti yang dikenakan terhadap penyiaran konvensional.

“Walau bagaimanapun, pihak kerajaan ingin menegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak penerbitan drama dan filem yang menyentuh isu sensitiviti agama dan kaum dalam karya mereka.

“Kebebasan berkarya perlu disertai dan diimbangi dengan tanggungjawab menghormati nilai-nilai agama, keharmonian masyarakat dan sensitiviti kaum dan budaya yang menjadi teras dan tunjang kepada perpaduan negara kita,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya hasil penilaian dan siasatan mendapati terdapat pelanggaran terhadap mana-mana garis panduan, peraturan atau ketetapan yang berkuat kuasa.

“Selepas pertemuan dan mesyuarat yang akan diadakan, pihak FINAS mewakili pihak-pihak yang terbabit akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung hasil perbincangan dan tindakan susulan yang akan diambil,” ujarnya. – UTUSAN

The post CMCF, FINAS temui pihak produksi drama Madu atau Racun petang ini appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved