
Tiada telefon baharu tahun ini maka CMF menumpukan perhatian pula kepada produk audio berbanding yang lain di pasaran. Dua speaker CMF Speaker S dan Speaker M dilancarkan semalam masing-masing kelihatan seperti kotak susu serta warna-warna ceria serta panel luar serta tombol yang boleh ditukar.

CMF Speaker M ialah model lebih besar dilengkapi pemandu 70mm (25W) dan tweeter 16mm (10W). Speaker menyokong tambatan bluetooth 6.0 dan juga sambungan kabel UBS-C untuk audio masa pendam rendah. Sambungan pantas menggunakan sentuhan NFC, Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair diberikan. Dua speaker boleh digunakan serentak bagi menyokong audio stereo. Codec yang disokong pula ialah AAC, SBC dan LC3.

Bateri adalah sebesar 4900 mAh yang menawarkan masa penggunaan sehingga 18 jam secara berterusan. Pengecasan semula adalah menggunakan kuasa 18W.Tubuh speaker melepasi piawaian kalis air serta debu IP68.

Sementara itu CMF Speaker S pula ialah versi lebih kecil dengan satu pemandu audio 45mm dan dua radiator pasif. Bateri pula sebesar 2600 mAh yang juga menawarkan masa penggunaan sehingga 18jm serta pengecasan 18W. Ciri lain pada Speaker S adalah sama sahaja dengan Speaker M.

Walaupun CMF kini sudah bergerak sebagai syarikat kendiri, perisian yang digunakan untuk mengawal Speaker M dan Speaker S masih lagi Nothing X, Menerusinya pelbagai tetapan audio dan EQ boleh dikawal. Harga jualan kedua-dua speaker adalah seperti di bawah tetapi harga Malaysia belum lagi diumumkan,
- CMF Speaker S -£49 (~RM265)
- CMF Speaker M -£99 (~RM535)





