Co-opbank Pertama buka tiga cawangan di Sabah, Sarawak pada suku keempat
zulfadli
08/09/2023 - 14:33
KUALA LUMPUR 8 Sept - Co-opbank Pertama (CBP) akan meluaskan lagi cawangannya di Borneo dengan membuka tiga buah lagi cawangan di Sabah dan Sarawak.
Tiga cawangan tersebut adalah di Matang Jaya dan Miri, Sarawak dan sebuah lagi cawangan di Sandakan, Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, ketiga-tiga cawangan tersebut dijangka akan dibuka pada suku keempat 2023.
"Pembukaan ketiga-tiga cawangan ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat dan kita melihat CBP mampu untuk memenuhi keperluan masyarakat di cawangan-cawangan baharu kami.
"Di Sarawak, CBP akan membuka dua buah cawangan lagi iaitu di Matang Jaya dan juga di Miri yang menjadikan CBP mempunyai tiga buah cawangan di negeri ini selepas cawangan pertamanya di Jalan Kulas, Kuching.
"Sementara itu di Sabah pula, cawangan ketiga akan beroperasi di Sandakan selepas mempunyai cawangan di Kota Kinabalu dan Tawau. Kita juga masih mengkaji untuk membuka satu lagi cawangan di kawasan Penampang," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Khairil Anuar berkata, pembukaan cawangan-cawangan baharu ini merupakan salah satu strategi CBP untuk membawa produk dan perkhidmatan perbankan secara terus kepada penduduk di Sabah dan juga Sarawak.

"Pembukaan cawangan-cawangan ini juga selari dengan Pelan Strategik CBP 2022-2026 yang mana kita menyasarkan untuk mempunyai 36 buah cawangan di seluruh negara dapat dicapai," katanya.
Katanya, CBP juga menunjukkan prestasi perniagaan yang cemerlang dua tahun berturut-turut jika mengatasi purata pencapaian industri walaupun berdepan dengan kelembapan ekonomi.
"Dengan prestasi yang memberangsangkan ini, CBP kini berada di landasan yang betul untuk mencapai dan memenuhi sasaran yang telah ditetapkan di dalam Pelan Strategik 5 Tahun CBP," katanya.
Tambahnya, CBP akan terus memperkenalkan beberapa produk dan model perniagaan baharu bagi memenuhi keperluan anggota serta pelanggan CBP. - DagangNews.com



