SHAH ALAM– The Coca-Cola Company menerusi operasi di Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan sepanjang Ramadan bagi menyantuni komuniti memerlukan di seluruh negara menerusi kempen bertemakan “Rezeki Dikongsi, Berkah Diperolehi.”
Pengarah Kanan Operasi Francais bagi Singapura, Malaysia dan Brunei, Amanda Lin berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakan korporat serta komuniti setempat bagi memupuk semangat kebersamaan selain menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
“Antara aktiviti dijalankan termasuk pengagihan minuman Fanta di beberapa lokasi Bazar Ramadan terpilih yang mana setiap sampel diberikan kepada orang ramai turut menyumbang sebotol minuman kepada keluarga kurang berkemampuan.
**media[3462152]**
“Selain itu, sukarelawan turut berganding bahu menyediakan juadah berbuka puasa di beberapa masjid sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, The Coca-Cola Company di Malaysia bekerjasama dengan Yayasan Basmi Kemiskinan dan Yayasan Ikhlas serta rakan perniagaan termasuk Lotus's Malaysia dan KFry Urban Korean bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada komuniti yang benar-benar memerlukan.
Dalam masa sama, kakitangan syarikat turut digalakkan menjadi duta jenama dengan berkongsi minuman Coca-Cola dalam komuniti masing-masing serta mengeratkan hubungan melalui majlis berbuka puasa bersama.
Sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR), kira-kira RM250,000 diperuntukkan bagi menjayakan pelbagai inisiatif Ramadan di seluruh negara.
**media[3462153]**
Usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan Coca-Cola Malaysia dalam menyokong kesejahteraan komuniti menerusi kerjasama strategik serta inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Tambahnya, usaha itu turut menyasarkan golongan pekerja di sebalik tabir termasuk penghantar makanan yang terus berkhidmat kepada masyarakat sepanjang musim perayaan.
“Sebagai rakan minuman rasmi bagi beberapa program iftar terpilih, Coca-Cola Malaysia turut menyokong inisiatif menghargai sumbangan golongan tersebut.
“Melalui program pengagihan bakul makanan yang dilaksanakan, dianggarkan kira-kira 15,000 keluarga di seluruh negara bakal menerima manfaat termasuk komuniti bandar di Kuala Lumpur serta kawasan luar bandar seperti Semporna, Sabah,” jelasnya.
Menurut beliau, Ramadan merupakan waktu terbaik untuk masyarakat memperkukuh hubungan melalui nilai empati serta semangat saling membantu dalam komuniti.
“Ramadan mengingatkan kita bahawa hubungan yang kukuh dalam masyarakat terbina melalui rasa ihsan serta kesedaran untuk saling membantu antara satu sama lain.
“Bagi Coca-Cola Malaysia, musim ini menjadi peluang untuk bekerjasama dengan rakan strategik dan komuniti bagi menggalakkan amalan kebaikan kecil yang mampu memberi kesan besar kepada ramai pihak,” katanya.



