Tatkala dunia menjauh, Malaysia pilih bersama

13 Mar 2026 • 9:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Bazar Ramadan di negara ini tidak pernah menjadi ruang eksklusif kepada satu kaum sahaja. Orang Melayu, Cina, India dan pelbagai komuniti lain turun menikmati suasana sama. Foto fail Bernama

RAMADAN hampir melabuhkan tirainya. Rakyat mula memasuki fasa paling dinanti setiap tahun iaitu persiapan menyambut Aidilfitri.

Jika seseorang berjalan ke mana- mana bazar Ramadan pada waktu petang, pemandangan terhidang sebenarnya cukup menarik untuk diperhatikan.

Lorong gerai dipenuhi manusia. Ada beratur panjang membeli martabak panas, ada memegang plastik air balang berwarna-warni. Ada juga sekadar berjalan perlahan sambil memerhati deretan juadah berbuka memenuhi meja jualan.

Pelanggan di hadapannya mengangguk. Di belakang pula, seorang lelaki Cina bersama anaknya memilih kuih-muih untuk dibawa pulang. Pemandangan seperti ini bukan asing di Malaysia.

Bazar Ramadan di negara ini tidak pernah menjadi ruang eksklusif kepada satu kaum sahaja. Orang Melayu, Cina, India dan pelbagai komuniti lain turun menikmati suasana sama. Tanpa disedari, bazar Ramadan sebenarnya telah lama menjadi satu ruang sosial unik.

Ia bukan sekadar pesta makanan. Ia potret kecil bagaimana masyarakat Malaysia hidup bersama. Fenomena ini bukan sesuatu baharu. Tradisi kebersamaan seperti ini lama membentuk identiti sosial negara kita.

Rakyat Malaysia pernah merasai detik yang lebih simbolik apabila musim perayaan besar negara bertembung dalam kalendar sama. Antara 1996 hingga 1998, Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina diraikan hampir serentak. Ketika itu, suasana perayaan terasa luar biasa.

Rumah terbuka berlangsung tanpa henti. Kunjungan antara jiran dan sahabat merentasi batas agama dan budaya.

Detik itu bakal kembali pada 2029, 2030 dan 2031. Namun sebenarnya, semangat kebersamaan itu tidak pernah benar-benar hilang walaupun kalendar tidak mempertemukan perayaan tersebut setiap tahun.

Inilah istilah 'Kongsi Raya' sering disebut rakyat Malaysia. Ia adalah refleksi kepada sesuatu lebih mendalam, tentang cara hidup masyarakat majmuk sebenar yang memilih berkongsi kegembiraan.

Semangat kebersamaan ini juga pernah terlihat dalam pelbagai inisiatif solidariti rakyat sebelum ini, termasuk usaha kemanusiaan seperti Pelayaran Sumud Nusantara yang menghimpunkan rakyat dari pelbagai latar belakang dalam satu misi yang sama.

Ia mengingatkan kita bahawa di sebalik perbezaan budaya dan agama, rakyat Malaysia sering berkongsi naluri yang sama ketika saat penting. Inilah salah satu kekuatan sebenar negara ini.

Tidak lama lagi, jutaan rakyat Malaysia akan memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman. Lebuh raya akan dipenuhi kenderaan. Stesen bas dan lapangan terbang menjadi semakin sibuk.

Detik inilah sebenarnya membentuk makna Aidilfitri bagi rakyat Malaysia. Namun dalam kegembiraan, ada juga peringatan yang wajar kita renungkan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat menikmati kemeriahan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran, tetapi pada masa sama tidak melupakan kepentingan berjimat cermat. Nasihat itu bukan sesuatu baharu dalam tradisi kita.

Dalam kisah dirakamkan dalam Surah Yusuf, Nabi Yusuf AS pernah menasihatkan rakyat Mesir menyimpan sebahagian hasil ketika zaman kemakmuran sebagai persediaan menghadapi tempoh kemarau panjang.

Ia adalah peringatan sangat sederhana, tetapi cukup mendalam maknanya. Dalam saat kita menikmati kegembiraan, kita juga diajar berfikir tentang hari esok.

Dalam dunia semakin tidak menentu, kebijaksanaan seperti inilah membantu sesebuah masyarakat kekal seimbang. Meraikan nikmat tanpa lupa untuk bersedia menghadapi cabaran.

Di tengah dunia yang semakin tegang oleh konflik dan persaingan kuasa besar, rakyat Malaysia masih memilih berkumpul di bazar Ramadan, berbual di gerai makanan dan merancang perjalanan pulang ke kampung halaman. Perkara ini mungkin kelihatan kecil.

Tetapi dalam dunia semakin gelisah, kesederhanaan seperti inilah sebenarnya memelihara kewarasan sebuah masyarakat.

Dalam dunia sering memilih pertentangan, Malaysia memilih bertaut dan kadang-kadang dalam zaman penuh kegelisahan seperti hari ini, pilihan terus bersama itu sendiri sudah menjadi satu bentuk harapan.

'Selamat Menyambut Eidul Fitri Mubarak.'

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Putrajaya