
KUALA LUMPUR 16 Dis – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) telah memeterai perjanjian pembiayaan berjumlah RM97.63 juta dengan Coronade Properties Sdn Bhd untuk membiayai kerja-kerja infrastruktur awam bagi projek Coronation Square di Johor Bahru.
Projek itu dijangka menjana lebih RM9 bilion dalam pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan sehingga 60,000 peluang pekerjaan secara berterusan.
Coronation Square terletak di sepanjang Jalan Trus dan Jalan Abdullah Ibrahim, dengan laluan pejalan kaki bertingkat sepanjang 210 meter yang terus menghubungkan ke Stesen Bukit Chagar RTS Link bagi memudahkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan dalam bandar.
Pengarah Urusan Kumpulan Korporat dan Perbankan Pelaburan BPMB, Wee Yee Tat berkata, projek ini akan meletakkan Johor Bahru pada tahap transformasi yang memberi manfaat kepada komuniti, perniagaan dan pengguna pengangkutan awam, serta menjadi pemangkin kepada pembangunan Ibrahim International Business District.
“Pembangunan bersepadu ini merangkumi apartmen servis, menara pejabat, suite perubatan, hotel, dan pusat beli-belah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Coronade Properties, Kok Wai Sing berkata, sokongan BPMB membolehkan mereka menyediakan infrastruktur penting yang meningkatkan akses, mempromosikan pengangkutan awam, dan menyokong evolusi Johor Bahru menjadi metropolis global.
Apabila siap kelak, projek Coronation Square dijangka menarik pelabur antarabangsa, pelancong dan bakat yang kesemuanya akan menjadikan ekonomi Johor lebih pelbagai dan berdaya tahan.
Coronation Square yang sedang dalam proses pembangunan itu akan mengubah Johor Bahru menjadi sebuah bandar raya metropolis dan hab kewangan yang baharu.
Projek itu yang dilancarkan pada 2015 adalah projek bersepadu bernilai RM5 bilion yang merupakan inisiatif pertama untuk memulakan IIBD seluas 250 ekar (101.17 hektar). - DagangNews.com
