Keuntungan bersih Scientex Packaging meningkat lebih 200% kepada RM9.27 juta pada 1QFY26

LocalBusiness & Finance
16 Dec 2025 • 12:47 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan bersih Scientex Packaging meningkat lebih 200% kepada RM9.27 juta pada 1QFY26
image is not available
liza16/12/2025 - 12:47 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Dis – Scientex Packaging (Ayer Keroh) Berhad mencatatkan prestasi kewangan suku pertama berakhir 31 Oktober 2025 (1QFY2026) yang kukuh, dengan keuntungan bersih meningkat kepada RM9.27 juta berbanding RM2.9 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat yang mengkhususkan pembuatan dan pemasaran bahan pembungkusan plastik fleksibel itu berkata, jumlah hasilnya ialah RM184.66 juta, meningkat 3% daripada RM179.29 juta pada suku yang sama tahun lalu. 

 

Jualan eksport menyumbang 43.7% daripada jumlah hasil manakala baki 56.3% adalah daripada pasaran domestik.

 

Pengarah Urusannya, Chua Siew Chuan berkata, peningkatan keuntungan dan hasil suku ini disokong oleh kecekapan operasi yang lebih baik dan campuran jualan yang lebih menguntungkan.

 

Tambahnya, suku yang sama tahun sebelumnya turut terjejas oleh kerugian pertukaran asing.

 

“Dari segi kedudukan kewangan, aset syarikat meningkat kepada RM589.16 juta berbanding RM584.78 juta pada 31 Julai 2025, manakala ekuiti pemegang saham syarikat meningkat kepada RM409.43 juta daripada RM399.83 juta,” katanya.

 

Scientex Packaging juga meneruskan rancangan SCR yang diumumkan pada September lalu, di mana pemegang saham selain Scientex Berhad akan menerima bayaran tunai RM1.50 sesaham manakala saham sedia ada mereka akan dibatalkan. 

 

Setelah selesai, Scientex akan memegang 100% ekuiti syarikat, menjadikannya anak syarikat milik penuh Scientex.

 

Dalam suku semasa, syarikat mencatat aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi sebanyak RM17.13 juta, manakala aliran tunai daripada aktiviti pelaburan dan pembiayaan masing-masing mencatat penggunaan bersih RM3.34 juta dan RM6.69 juta.

 

Scientex Packaging tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku ini. - DagangNews.com

Terkini standard