Marine & General catat keuntungan bersih RM15.25 juta pada 2QFY26

LocalBusiness & Finance
16 Dec 2025 • 5:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Marine & General catat keuntungan bersih RM15.25 juta pada 2QFY26
image is not available
liza16/12/2025 - 17:44 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Dis – Marine & General Berhad (M&G) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM15.25 juta pada suku kedua berakhir 31 Oktober 2025, menurun sedikit berbanding RM18.02 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, M&G berkata, namun hasil pada suku tersebut meningkat kepada RM98.35 juta berbanding RM93.06 juta tempoh sama tahun lalu.

 

“Ini mencerminkan pertumbuhan hasil operasi syarikat walaupun berdepan cabaran tekanan kos,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Walau bagaimanapun, M&G turut mencatat kerugian pertukaran asing berjumlah RM3.49 juta bagi tempoh enam bulan pertama, menjejaskan jumlah pendapatan komprehensif kepada RM34.94 juta berbanding RM22.50 juta sebelumnya.

 

Daripada segi kedudukan kewangan, jumlah aset syarikat pada 31 Oktober 2025 adalah RM861.72 juta, sedikit menurun berbanding RM867.99 juta pada 30 April 2025. 

 

Liabiliti keseluruhan menurun daripada RM658.47 juta kepada RM617.26 juta, manakala ekuiti pemegang saham meningkat daripada RM209.52 juta kepada RM244.46 juta.

 

Dalam aliran tunai, M&G menjana RM70.88 juta daripada aktiviti operasi, tetapi membelanjakan RM19.92 juta bagi aktiviti pelaburan dan RM52.04 juta untuk aktiviti pembiayaan, termasuk pembayaran balik pinjaman dan kos kewangan. 

 

Kesannya, tunai dan setara tunai syarikat berkurangan sedikit kepada RM49.77 juta.

 

Syarikat tidak mengisytiharkan dividen bagi tempoh kewangan ini.

 

Dalam laporan segmen, syarikat itu berkata, unit logistik marin M&G menunjukkan prestasi kukuh dengan jumlah hasil RM197.78 juta, manakala unit pelaburan dan lain-lain merekodkan kerugian sebelum cukai RM2.62 juta.

 

“Prestasi separuh pertama tahun kewangan ini menunjukkan ketahanan kumpulan dalam menghadapi cabaran pasaran dan turun naik mata wang. 

 

“Kami terus fokus kepada pertumbuhan berterusan serta pengurusan risiko yang berkesan,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard