Counterpoint – Penghantaran Cip MediaTek Dan Qualcomm Merosot Pada Q1 2026

TechnologyDigital
11 Jun 2026 • 1:25 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pasaran cip pemprosesan kini lebih memihak kepada model premium dengan MediaTek dan Qualcomm sama-sama berdepan penurunan manakala Apple, Samsung dan Unisoc menunjukkan peningkatan dalam segmen tertentu. Data ini diperoleh daripada laporan terkini Counterpoint yang baru diterbitkan sekali gus menggambarkan perubahan trend dalam industri telefon pintar semasa.

Image from: Counterpoint – Penghantaran Cip MediaTek Dan Qualcomm Merosot Pada Q1 2026

Berdasarkan laporan pasaran cip telefon pintar suku Q1 2026, MediaTek masih kekal sebagai pengeluar terbesar walaupun pasaran mereka menurun daripada 38% pada Q1 2025 kepada 32% pada Q1 2026. Cip Dimensity 8450 membantu mengukuhkan kedudukan syarikat dalam segmen pertengahan melalui model seperti Oppo Reno15 Pro.

Seterusnya, Qualcomm berada di kedudukan kedua dengan 23% namun turut mencatatkan penurunan kerana sebahagiannya berpunca daripada penggunaan cip Exynos 2600 dalam Galaxy S26 serta kelewatan pelancaran. Siri Snapdragon 4 dan 6 juga terjejas akibat jualan rendah telefon pintar bajet.

Image from: Counterpoint – Penghantaran Cip MediaTek Dan Qualcomm Merosot Pada Q1 2026
Gambar sekadar hiasan

Sementara itu, Apple berada di kedudukan ketiga dengan pegangan pasaran sebanyak 19%. Penghantaran cip A19 meningkat hasil permintaan tinggi terhadap siri iPhone 17, khususnya iPhone 17e yang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding siri iPhone 16 sebelum ini. Varian Pro turut mendapat sambutan baik di pelbagai pasaran kerana menawarkan nilai yang kukuh.

Image from: Counterpoint – Penghantaran Cip MediaTek Dan Qualcomm Merosot Pada Q1 2026

Selain itu, Unisoc mencatatkan 14% dan berjaya menembusi pasaran melalui Redmi dengan cip T7250 untuk telefon 4G serta T8300 untuk telefon 5G. Seterusnya, Samsung Exynos yang merekodkan 7% menunjukkan peningkatan apabila lebih banyak model menggunakan cip buatan sendiri termasuk Galaxy A57 (Exynos 1680) dan Galaxy A37 (Exynos 1480). HiSilicon (Huawei) pula merekodkan 4% dan sedikit menurun namun permintaan terhadap cip Kirin 9000 dalam siri Mate 80 membantu mereka terus bersaing dalam pasaran.

Image from: Counterpoint – Penghantaran Cip MediaTek Dan Qualcomm Merosot Pada Q1 2026
Gambar sekadar hiasan

Menurut Counterpoint, keadaan ini berlaku kerana kos cip memori yang semakin meningkat memberi kesan besar kepada pasaran telefon pintar. Oleh itu, model bajet dan pertengahan menjadi kurang laku kerana pengeluar sukar menyerap kenaikan kos tersebut. Sebaliknya, model premium lebih mampu menampung kos tambahan ini sekali gus mengekalkan permintaan yang stabil dalam segmen tersebut.