Rekaan Soket LGA-1954 Untuk CPU Intel Nova Lake-S Tertiris

Technology
5 Jun 2026 • 2:23 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Rekaan Soket LGA-1954 Untuk CPU Intel Nova Lake-S Tertiris

Siri cip pemprosesan komputer desktop Intel Nova Lake-S dijangka akan dilancarkan pada penghujung tahun ini, yang mana ia akan hadir dengan soket baru yang dinamakan LGA-1954 menggantikan soket lama LGA-1851 yang digunakan dengan cip Intel Arrow Lake dan Arrow Lake Refresh.

Pada minggu ini, rekaan soket tersebut nampaknya telah tertiris ke arena web, yang mana walaupun saiz soket tidak dilihat begitu berbeza, terdapat satu kelainan yang cukup ketara, iaitu dua tuas yang diperlihatkan pada kedua-dua belah soket cip pemprosesan ini.

— LC Tech Leaks (and News) (@laurentschoice) June 3, 2026

Perkara ini ditiris oleh LC Tech Leaks di Taipei baru-baru ini. Walaupun soket tersebut tidak memperlihatkan jenama papan induk yang digunakan, Intel nampaknya akan menggunakan sistem dua-tuas 2L-ILM (Two Lever-Independent Loading Mechanism) yang nampaknya akan memastikan CPU ini benar-benar selamat didalam soket tersebut.

Papan induk yang merumahkan soket ini akan dinamakan Z990 untuk model papan induk paling premium, dan jangkaannya ialah rekaan sama mungkin juga akan digunakan untuk siri papan induk B900 yang akan dilancarkan kelak. Penggunaan sistem dua tuas ini bukanlah sesuatu yang baru. Intel pernah menggunakan sistem sama untuk cip pemprosesan lelas HEDT seperti Intel Xeon X99 dengan soket LGA-2011.

Setakat ini ia tidak diketahui lagi jika mekanisma baru ini akan menyebabkan pengguna untuk membeli penyejuk CPU baru ataupun tidak, kerana sebelum ini, mereka yang menaiktaraf komponen CPU dan papan induk mereka jarang sekali perlu menukar bahagian penyejuk CPU.