SSF Home beli tanah RM42.47 juta untuk bina gudang sendiri di Pulau Indah

Business & FinanceProperty
26 Oct 2026 • 5:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SSF Home beli tanah RM42.47 juta untuk bina gudang sendiri di Pulau Indah Image from: SSF Home beli tanah RM42.47 juta untuk bina gudang sendiri di Pulau Indah johardy26/10/2026 - 17:42 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Okt - SSF Home Group Berhad membeli tiga bidang tanah di Pulau Indah pada harga RM42.47 juta untuk membina gudang dan kemudahan pengedaran sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada premis sewaan serta menyokong pengembangan perniagaan.

 

Pembelian itu akan dibiayai melalui dana dalaman dan pinjaman bank. Berdasarkan kedudukan kewangan kumpulan yang diaudit pada 30 Jun 2026, nisbah penggearan pro forma akan meningkat daripada sifar kepada 22.14% selepas pengambilalihan tersebut.

 

Anak syarikat milik penuhnya, SSF Sdn Bhd, menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan IFFCO Foods Sdn Bhd pada 26 Oktober 2026 bagi pembelian tanah perindustrian kosong di Selangor itu, menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia.

 

Ketiga-tiga bidang tanah tersebut mempunyai keluasan keseluruhan kira-kira 52,611 meter persegi atau 5.26 hektar dengan pegangan pajakan selama 99 tahun yang tamat pada 24 Februari 2097.

 

SSF berkata, pemilikan gudang sendiri akan memberikan kumpulan lebih fleksibiliti dalam menguruskan operasi penyimpanan dan pengedaran, manakala lokasi tanah tersebut dijangka meningkatkan kecekapan logistik serta berpotensi menjimatkan kos dalam jangka panjang.

 

Harga pembelian dipersetujui antara pembeli dengan penjual yang masing-masing bersedia berurus niaga, dengan mengambil kira lokasi, keluasan dan kategori kegunaan tanah serta nilai pasaran keseluruhan kira-kira RM42.48 juta yang ditaksir penilai bebas Jones Lang Wootton pada 29 September 2026.

 

Pembiayaan bank diperoleh

Kumpulan itu berkata, pihaknya telah memperoleh surat tawaran bank bagi pembiayaan sehingga 90% daripada harga pembelian.

 

Bagaimanapun, perubahan kadar faedah boleh meningkatkan kos pinjaman dan menjejaskan aliran tunai serta obligasi pembayaran balik pinjaman kumpulan pada masa hadapan.

 

Pengambilalihan tersebut tidak dijangka memberi kesan ketara terhadap keuntungan atau pendapatan sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 mahupun aset bersih kumpulan.

 

Penyempurnaan urus niaga tertakluk kepada penjual memperoleh kebenaran pihak berkuasa berkaitan untuk memindah milik tanah dalam tempoh tiga bulan dari tarikh perjanjian, melainkan kedua-dua pihak bersetuju secara bertulis melanjutkan tempoh tersebut.

 

SSF menjangkakan pengambilalihan tanah itu selesai dalam tempoh empat bulan dari tarikh perjanjian ditandatangani, tertakluk kepada pemenuhan syarat perjanjian dan sekiranya tiada perkara di luar jangkaan. Kelulusan pemegang saham tidak diperlukan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved