CR Kumar tekad ubah nasib Speedy Tigress

24 Aug 2026 • 5:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: CR Kumar tekad ubah nasib Speedy Tigress

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, C.R. Kumar tekad membimbing Speedy Tigress melakar pencapaian lebih baik dengan menembusi kelompok empat terbaik pada kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Kumar berkata, sasaran tersebut menjadi keutamaan pasukan selepas Malaysia sekadar menamatkan saingan di tempat kelima dalam lima edisi terakhir Sukan Asia, bermula di Doha pada 2006.

Menurutnya, skuad negara perlu menghasilkan corak permainan berkualiti selain memastikan sekurang-kurangnya satu kemenangan ke atas pasukan pilihan Kumpulan A iaitu China atau Korea Selatan bagi membuka peluang mara ke separuh akhir.

“Dalam semua edisi Sukan Asia sebelum ini, Malaysia sering menamatkan saingan di tempat kelima kerana tempat itu sentiasa dalam jangkauan kami. Tetapi kali ini, kami cuba untuk masuk ke kelompok empat teratas dan itulah sasaran kami.

“Jelas sekali dalam kumpulan kami ada China dan Korea. China adalah pasukan kelas dunia dan berada di ranking keempat dunia manakala Korea juga antara pasukan terkuat.

“Jadi, kami perlu menewaskan sekurang-kurangnya satu daripada dua pasukan tersebut untuk mara ke separuh akhir,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama China, Korea Selatan, Kazakhstan, Taiwan dan Bangladesh.

Bagaimanapun, Kumar mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengambil mudah mana-mana lawan termasuk Kazakhstan, Bangladesh dan Taiwan kerana setiap pasukan pasti hadir dengan misi untuk mencipta kejutan.

“Kita tidak boleh memandang rendah sesiapa pun dalam kumpulan. Semua pasukan mahu beraksi dengan baik dan memenangi perlawanan. Sesiapa yang beraksi lebih baik pada hari perlawanan, mereka pasti akan layak ke separuh akhir,” katanya.

 

The post CR Kumar tekad ubah nasib Speedy Tigress appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved