
KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Brendon Carolan melihat keputusan seri 3-3 menentang Perancis pada Piala Dunia Hoki FIH 2026 sebagai petanda Speedy Tigers semakin menghampiri tahap diperlukan untuk mencabar India pada Sukan Asia Aichi-Nagoya bulan depan.
Meskipun masih belum meraih kemenangan selepas dua perlawanan Kumpulan B, Carolan berpuas hati dengan peningkatan dipamerkan anak buahnya ketika mengikat Perancis di Wavre, Belgium selepas tewas 1-5 kepada Jerman dalam aksi pembukaan.
“Saya fikir ia satu persembahan yang baik. Perancis sebelum ini memberikan tentangan sengit kepada beberapa pasukan besar dan mereka juga hampir mendapatkan keputusan positif ketika menentang Belgium.
“Jadi, apabila memikirkan mengenai Sukan Asia, saya rasa kami semakin hampir kepada tahap yang diperlukan untuk berdepan India,” katanya.
Carolan tetap berbangga dengan komitmen pemain yang sudah melalui tempoh panjang berjauhan daripada keluarga dalam usaha membawa cabaran negara di pentas dunia.
Speedy Tigers kini perlu mengekalkan tahap permainan itu apabila bakal berdepan ujian lebih getir menentang tuan rumah, Belgium dalam aksi terakhir kumpulan malam esok.
The post Piala Dunia Hoki: Makin hampiri tahap Sukan Asia appeared first on Kosmo Digital.





